SHAH ALAM: Pengunjung pusat perniagaan dekat Seksyen 20 di sini digemparkan dengan penemuan 29 ekor anak luar sawa termasuk seekor induknya yang dipercayai menjadikan sebuah saluran air longkang sebagai sarangnya, malam tadi.
Anak-anak ular yang ditemukan adalah sepanjang setengah meter dipercayai baru menetas dari telurnya dan masih kecil, sementara induknya pula bersaiz dua meter.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.56 malam sebelum sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam digerakkan ke lokasi berkenaan.
“Tempat berdekatan Restoran Khulafa, Seksyen 20. Sampai di lokasi memang benar terdapat ular sawa di dalam saluran air longkang berhampiran. Bagaimanapun kejadian tidak melibatkan mangsa,” katanya.
Tambahnya kawasan tersebut merupakan sarang ular dan pernah dilaporkan oleh penduduk setempat sebelum ini.
“Memang di situ sarangnya dan penduduk juga pernah memberitahu ternampak sehingga enam ekor ular di kawasan tersebut.
“Sebelum ini terpaksa tembak air ke dalam longkang tersebut untuk mengeluarkan ular-ular di situ tetapi gagal kerana pembentungnya perlu dipecahkan supaya dapat membongkar sarang tersebut. Bagaimanapun dalam operasi malam tadi bomba hanya menggunakan penjerut,” jelasnya.
Katanya lagi, ular tersebut kemudian dilepaskan di tempat yang selamat.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Shah Alam, Ahmad Nazmi Halil memberitahu tangkapan haiwan liar itu di kawasan tersebut adalah yang terbanyak. – UTUSAN










