KUALA LUMPUR: Pelakon, Sophia Albarakbah mendedahkan, masih menerima kecaman dan serangan secara siber walaupun kontroversi melibatkan dirinya sudah lama berlalu dan selesai.
Jelas pelakon Perawan Saka itu, dia sendiri tertanya-tanya dan mencari kesilapan diri sehingga menyebabkan dirinya masih dibuli secara siber terutama oleh individu menggunakan akaun palsu.
“Sehingga sekarang, saya masih menerima serangan dan kecaman. Saya masih dibuli di media sosial, tidak kiralah saya buat salah atau tidak. Masih ada segelintir individu yang membuli.
“Mungkin saya terlihat kuat, masih boleh tersenyum tetapi hakikatnya tidak. Saya sudah lalui pelbagai fasa kecaman dan buli. Saya mencuba sehabis baik untuk tidak terlalu terkesan dengan kata-kata mereka.
“Tetapi saya manusia biasa. Tetap terkesan cuma saya selalu ingatkan diri untuk tidak melakukan perkara-perkara yang akhirnya menerbitkan kemudaratan serta kekesalan dalam diri,” ujarnya.
Dedah pelakon itu lagi, dia pernah melalui fasa tekanan dan hampir kemurungan sehingga memaksa diri mendapatkan terapi kesihatan mental sebelum lebih mudarat.
“Ada satu ketika, saya sangat tertekan dan berjumpa pakar terapi mental. Saya juga bernasib baik kerana dikelilingi keluarga dan sahabat yang sentiasa ada tidak kira apa sahaja fitnah tersebar.
“Jika mental seseorang itu tidak kuat, mungkin akan berdepan kesan yang lebih teruk. Sekarang saya fokus kerja. Saya kena paksa diri untuk jadi kuat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sophia juga menasihatkan warganet untuk berfikir dan mempunyai rasa empati sebelum meninggalkan komen atau kecaman yang boleh dianggap sebagai buli.
“Kadang-kadang saya sendiri hairan, adakah pembuli ini dengki atau anggap kecaman itu sebagai gurauan. Apapun alasannya, berhenti buli orang.
“Buli bukan isu kecil. Boleh memberi kesan teruk kepada mental seseorang sehingga ada yang membunuh diri dan sebagainya. Jangan anggap buli ini perkara main-main,” kongsinya. –UTUSAN










