LONDON: Beberapa perusuh menjadi kumpulan pertama dijatuhi hukuman semalam, berikutan pembabitan dalam protes dan rusuhan antipendatang yang berlarutan selama beberapa hari di United Kingdom (UK).
Seorang remaja berusia 19 tahun muncul individu pertama dikenakan hukuman penjara dua bulan kerana terlibat dalam bantahan berkenaan, lapor agensi berita PA Media.
Menurut laporan tersebut, seorang lagi lelaki disabit kesalahan menyerang seorang anggota polis di pekarangan sebuah hotel yang menempatkan pencari suaka dalam kejadian di Rotherham, utara England, Ahad lalu.
Seorang remaja lelaki berumur 15 tahun pula mengaku bersalah menjejaskan ketenteraman awam di Liverpool Sabtu lalu selepas dia dikenal pasti menerusi satu video di TikTok video.
Sementara itu, seorang lagi lelaki di Leeds mengaku melakukan hantaran di Facebook yang bertujuan menghasut kebencian antara kaum.
Hampir 400 individu ditahan dan lebih 100 didakwa di mahkamah kerana terbabit dalam rusuhan di seluruh negara, berpunca daripada maklumat palsu yang disebarkan atas talian selepas pembunuhan tiga kanak-kanak perempuan oleh seorang lelaki bersenjatakan pisau.
Keadaan itu menyebabkan sebanyak 6,000 anggota polis dikerah berjaga-jaga bagi berdepan rusuhan terburuk di UK sejak 2011.
Perdana Menteri, Keir Starmer yang juga bekas pendakwa raya sebelum ini berikrar untuk menghadapkan perusuh ke muka pengadilan. – AGENSI











