KUALA LUMPUR: KL Wellness City (KLWC) bakal menghantar dua wakil ke Copenhagen, Denmark bagi menyahut cabaran kejohanan Triathlon Ironman pada pertengahan Ogos ini.
Acara ini menyaksikan Pengarah Penjenamaan, Jualan & Pemasaran KLWC, Datuk Vincent Tiew bersama pelari terpantas triathlon Ironman Malaysia, Teh Kuok Yuen bakal menyertai kejohanan sejauh 226 kilometer (km) ini.
Cabaran Triathlon Ironman adalah perlumbaan ketahanan yang terkenal yang terdiri daripada berenang sejauh 3.8 km, berbasikal 180 km, dan berlari 42.2 km dan semuanya perlu diselesaikan secara berterusan dalam had masa tertentu.
Kuok Yuen berkata beliau mahu mensasarkan untuk memperbaharui catatan masa peribadi dalam kejohanan ini yang mana ketika ini catatan terbaiknya 9 jam 28 minit.
“Saya akan cuba untuk mencatat masa peribadi yang baharu di Denmark. Setakat ini saya berada dalam prestasi terbaik dan bebas daripada kecederaan,” kata Kuok Yuen pada sidang akhbar penyerahan bendera rasmi dan pengumuman strategik KLWC, di sini, semalam.
Mengikut format kejohanan, had masa Ironman Copenhagen adalah 15 jam dan 45 minit berbanding 17 jam pada kejohanan lain.
Sementara itu, Vincent meluahkan rasa bangga susulan dapat tampil dalam misi menampilkan diri buat kali kesembilan dalam kejohanan Ironman.
“Sejak 21 bulan yang lalu, saya sudah menyertai acara triathlon ini. Saya gembira dengan pencapaian saya dapat mencabar diri sampai ke tahap kini,” kata Vincent.
Perlumbaan triathlon Ironman Copenhagen bakal membuka tirai saingannya pada 18 Ogos ini.
Dalam pada itu, Vincent berkata, acara ini bukan sahaja memberi motivasi kepada pasukan namun menandakan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan beberapa rakan strategik baharu.
“Kami sangat bangga untuk menyokong atlet kami ketika mereka mewakili KLWC di peringkat global dalam Triathlon Ironman di Copenhagen, Denmark. Acara ini menandakan sokongan berterusan kami terhadap kesihatan, kesejahteraan, dan kecemerlangan,” katanya. – UTUSAN








