KUALA LUMPUR: Malaysia sudah tidak memerlukan pembinaan bangunan pencakar langit, sebaliknya tumpuan kini adalah kepada projek yang memberi manfaat langsung kepada kehidupan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak mahu negara ini hanya bermegah-megah dengan banyaknya bangunan pencakar langit.
Katanya, sebab itu projek-projek seperti itu bukan lagi keutamaan, kerana Malaysia sudah mempunyai banyak bangunan tinggi dan fokus kini adalah menyantuni rakyat seperti menaik taraf gerai, warung, restoran kecil dan jaga kebersihan.
Beliau memberi jaminan kadar peningkatan ringgit yang dicatatkan negara kini akan disumbang semula kepada rakyat.
“Apa erti kekuatan wang ringgit dan pelaburan banyak masuk tetapi tidak memberi faedah langsung pada rakyat? Sebab itu sejak awal lagi saya tekankan kita mesti beri penekanan kepada projek-projek yang santuni rakyat.
“Bangunan pencakar langit sudah banyak, kalau swasta mahu bangunkan silakan. Tetapi, kerajaan tidak menjadikan ini sebagai keutamaan lagi. Saya tidak mahu bermegah kerana Malaysia atau Kuala Lumpur ini sudah mempunyai bangunan tinggi, hebat dan terkemuka di dunia.
“Saya mahu tumpuan diberi jabatan bersama semua kementerian untuk menjaga kebersihan di warung, gerai dan restoran kecil kerana ini yang disantuni 80 peratus rakyat di ibu negara, tetapi, malangnya, tumpuan kita tidak setimpal,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pelancaran Perumahan Penjawat Awam Malaysia Madani (PPAM MADANI) di PPAM Piksel Permaisuri, Bandar Sri Permaisuri, sini semalam.
Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Selain itu, Anwar mengingatkan penjawat awam untuk mengelakkan pembaziran termasuk penganjuran majlis-majlis kerajaan meskipun dianggap ‘biasa-biasa’, malah memotong gaji menteri.
Katanya, kerajaan bertegas melawan rasuah kerana amalan seperti itu yang menyebabkan kos meningkat melalui aktiviti kartel, salah guna kuasa dan ketirisan.
“Tengok penyasaran subsidi diesel. Orang seludup, curi duit kita. Orang asing yang tidak membayar cukai tetapi dapat subsidi diesel. Yang ambil subsidi rakyat. Rakyat yang bayar cukai,” katanya.
Semasa Konvensyen Keadilan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada Ahad lalu, Anwar dilaporkan berkata, mata wang ringgit kini berada pada tahap terkuat dalam tempoh 14 tahun kerana dasar Kerajaan Perpaduan dan muafakat membangunkan negara secara bersama.
Katanya, ringgit yang sering dipertikai pembangkang sebagai sedang merudum, sebenarnya memperlihat aspek pemulihan positif di bawah pentadbiran kerajaan. – UTUSAN










