14 tan ikan habis dijual dalam tempoh dua jam - Utusan Malaysia

14 tan ikan habis dijual dalam tempoh dua jam

SEBAHAGIAN daripada pengunjung membeli ikan yang dijual pada Jualan Agro Madani sempena  Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan, Hulu Terengganu, hari ini. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Sebanyak 14 tan pelbagai jenis ikan habis dijual dalam tempoh kurang dua jam pada Jualan Agro Madani sempena  Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan, dekat sini, hari ini.

Tinjauan mendapati, orang ramai mula memenuhi pekarangan Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Berang seawal pukul 7 pagi bagi mendapatkan ikan segar yang dibawa khas dengan treler.

Peniaga ikan, Muhammad Zubir Yusof, 37, berkata, kadar harga ikan ditawarkan serendah RM4 sekilogram bagi beberapa jenis ikan seperti selayang, lolong, selar kuning serta cencaru dan RM7 untuk ikan tongkol.

“Orang ramai sudah memenuhi tempat jualan sebelum kita mula berniaga bermula 8 pagi lagi dan tidak sangka dalam tempoh tidak sampai dua jam, pelbagai jenis ikan dibawa habis terjual.

“Bekalan ikan dibawa sempena program hari ini diambil dari beberapa lokasi termasuk Tok Bali, Kelantan. Bukan sekadar ditawarkan ikan segar kepada pembeli tetapi juga harga yang murah.

“Melalui program jualan sebegini ia tidak hanya meringankan beban pembeli tetapi secara tidak langsung juga membantu para peniaga seperti saya,” katanya ketika ditemui pada jualan tersebut, dekat sini, hari ini.

Seorang pengunjung, Wan Noraida Wan Abdullah, 42, berkata, dia tidak melepaskan peluang dapatkan ikan bagi keperluan lima ahli keluarganya yang lain kerana bahan mentah itu dijual dengan harga murah berbanding tempat lain.

“Saya sampai sekitar jam 8 pagi, orang ramai telah memenuhi tempat jualan ikan. Hasil bergasak-asak lebih kurang setengah jam saya akhirnya dapat membeli ikan diinginkan.

“Program jualan sebegini diharapkan dapat terus diadakan lagi pada masa akan datang kerana ia banyak membantu rakyat jimatkan perbelanjaan. Saya juga beli barangan lain termasuk puyuh yang dijual RM1 seekor,”ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Terengganu, Hasmila Abas berkata program jualan tersebut melibatkan kira-kira 30 orang peniaga usahawan muda.

Katanya lagi, selain ikan sebanyak 1,000 kilogram ayam, 280 kilogram daging serta 250 kampit beras tempatan turut ditawarkan pada harga rendah kepada pengunjung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×