Jual rokok dan vape melalui mesin gegendang

Jual rokok dan vape melalui mesin gegendang

DENGAN memperkenalkan mesin gegendang yang dilengkapi teknologi canggih seperti kamera litar tertutup (CCTV) serta sistem pengesahan kad pengenalan, ia boleh menghadkan pembelian rokok dan vape dalam kalangan remaja mahupun bawah umur. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENJUALAN rokok dan vape melalui mesin gegendang adalah satu langkah progresif yang boleh diambil oleh kerajaan untuk mengawal penggunaan produk berkenaan dalam kalangan masyarakat, terutamanya remaja.

Dengan memperkenalkan mesin gegendang yang dilengkapi dengan teknologi canggih seperti kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem pengesahan kad pengenalan, ia boleh menjadi satu mekanisme kawalan yang lebih efektif berbanding penjualan di kedai runcit dan restoran.

Ini kerana mesin ini memerlukan pembeli untuk memasukkan kad pengenalan sebelum membuat pembelian bagi tujuan pengesahan umur. Langkah ini secara langsung akan mengurangkan bilangan remaja yang cuba mendapatkan produk tersebut secara haram.

Selain itu, rakaman CCTV boleh digunakan untuk mengenal pasti individu yang cuba melanggar undang-undang. Contohnya, menggunakan kad pengenalan palsu atau meminjam kad pengenalan orang lain. Dengan adanya rakaman CCTV, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan yang lebih pantas dan berkesan terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan.

Langkah ini juga dapat mengurangkan aktiviti penjualan rokok seludup. Dengan mesin gegendang yang dikawal rapi, sindiket lebih sukar untuk menjual rokok seludup, seterusnya membantu kerajaan dalam usaha memerangi aktiviti penyeludupan.

Cadangan ini juga boleh diperluaskan dengan memasukkan beberapa ciri tambahan pada mesin berkenaan seperti sistem pembayaran elektronik yang selamat dan penggunaan teknologi pengecaman wajah untuk mengesahkan identiti pembeli. Ini akan menjadikan proses pembelian lebih selamat dan terjamin serta mengurangkan risiko penipuan.

Akhir sekali, kerajaan perlu memastikan bahawa pelaksanaan langkah ini disertai dengan kempen kesedaran yang berterusan mengenai bahaya penggunaan rokok dan vape, terutamanya dalam kalangan remaja.

Pendidikan yang berkesan mengenai kesan buruk produk tembakau dan vape akan membantu membentuk generasi muda yang lebih bijak serta bertanggungjawab dalam membuat keputusan berkaitan kesihatan mereka.-UTUSAN

AZIZUL ASYRAF MD. HELMI
SMK Dato Sulaiman, Parit Sulong, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×