Wanita tak mengaku tawar pakej umrah haram

Wanita tak mengaku tawar pakej umrah haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas ejen agensi pelancongan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menawarkan pakej umrah tanpa lesen sah, dua tahun lepas. 

 

Tertuduh, Nur Zaidani Akmal Abd Majid, 40, didakwa menawarkan pakej umrah tanpa lesen yang sah oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di sebuah bank Pusat Bandar Utara, Sentul dekat ini pada pukul 10.11 malam, 10 Disember 2022.

 

Wanita tersebut didakwa mengikut Seksyen 5(2) Akta Industri Pelancongan 1992 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. 

 

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Asisten Supritenden Nam Phat Prack Dit mencadangkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

 

Peguam bela, Lejerod Limpuong yang mewakili tertuduh memohon jumlah ikat jamin rendah atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan yang tetap dan mempunyai tujuh orang tanggungan termasuk suami dan enam anaknya yang masih bersekolah. 

 

“Tujuan jaminan bukan untuk menghukum tetapi bagi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah. Tertuduh tiada risiko untuk melarikan diri kerana tanggungan ditanggung penuh olehnya,” kata Lejerod.  

 

Majistret Illi Marisqa Khalizan kemudian membenarkan Nur Zaidani Akmal diikat jamin sebanyak RM3,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 September ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×