PETALING JAYA: Sejumlah 2,034 klinik perubatan swasta ditutup di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 atau Akta 586 sejak 2013 berikutan faktor persaingan sengit antara klinik dalam menawarkan harga perkhidmatan dan perubatan yang murah.
Setiap tahun negara melahirkan kira-kira 3,934 graduan perubatan dan mereka akan berkhidmat bukan sahaja di sektor awam malah fasiliti swasta termasuk klinik persendirian.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPKAM), Prof. Dr. Jamalludin Ab. Rahman berkata, kerajaan harus mengambil tindakan segera termasuk mengkaji situasi ini agar negara tidak rugi.
Justeru itu, katanya, kerajaan perlu mengambil tindakan terhadap kegagalan klinik swasta beroperasi kerana bukan sahaja sukar untuk melahirkan petugas perubatan kesihatan namun ia akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik kepada rakyat.
“Jika klinik swasta tidak boleh bertahan, maka dua pihak akan rugi. Doktor itu secara peribadi dan rakyat. Bukan mudah untuk melatih seorang doktor yang pakar dalam bidang tertentu. Alangkah ruginya rakyat jika doktor tidak lagi dapat memberikan perkhidmatan.
“Justeru, kerajaan harus segera mengkaji situasi ini agar negara tidak rugi dan perkhidmatan rawatan yang lebih baik dapat diberikan kepada rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 melaporkan 51 peratus rakyat Malaysia mendapatkan rawatan di fasiliti swasta termasuk klinik persendirian berbanding 48.9 peratus di klinik kerajaan.
Hal ini kerana, rakyat lebih gemar mendapatkan rawatan di fasiliti swasta berikutan perkhidmatan itu lebih cepat dan mudah untuk melakukan temu janji bersama doktor.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr. Boi Saidi Abdul Razak berkata, ketidakseragaman harga ubat dan yuran konsultasi yang tidak digazetkan menyebabkan klinik bersaing menurunkan harga sekali gus menjadi faktor kerugian perniagaan.
“Selain itu, ramai pegawai perubatan yang gagal menjawat sebagai penjawat awam melalui sistem kontrak diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadi pemilik klinik swasta.
“Sekarang ini, terdapat situasi di mana individu dan syarikat membuka klinik swasta dan mengajikan lambakan doktor tersebut. Pembukaan klinik secara tajaan ini kadang kala berakhir kerugian kerana tiada pesakit.
“Pinjaman mudah lulus khas kepada doktor ketika ini turut menjadi bom jangka kepada pegawai perubatan swasta sehingga boleh menyebabkan kerugian. Kebanyakan pinjaman khas yang ditawarkan bagi tujuan membuka klinik,” katanya.
Mengulas lanjut Boi Saidin berkata, pembayaran dan proses tuntutan oleh pentadbir pihak ketiga (TPA) yang tidak munasabah turut menjadi beban kepada klinik swasta. – UTUSAN







