Jangan terpengaruh testimoni kosmetik, harga murah

Jangan terpengaruh testimoni kosmetik, harga murah

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dakwa 18 produk kosmetik dan jagaan bayi yang dijual di pasaran berisiko sebabkan kanser apatah lagi produk tiruan seperti yang dirampas oleh pihak berkuasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengguna dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan testimoni dan promosi harga murah produk kecantikan bagi mengelak menjadi mangsa produk kosmetik beracun.

Ini kerana, penguat kuasa sukar untuk membuat penilaian bagi semua produk kosmetik sama ada ia beracun atau tidak, serta tidak mematuhi peraturan ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, Kementerian Kesihatan juga mempunyai terlalu banyak tugas hakiki dan sukar untuk mereka mengawal kemasukan produk kosmetik beracun.

“Kita mengharapkan pengguna sendiri untuk cakna dan jangan terlalu mudah terpengaruh dengan harga yang lebih murah, sedangkan kita tidak tahu kandungan apa yang digunakan sehingga boleh membawa kepada risiko penyakit kanser,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan sebanyak 18 produk kosmetik dan barangan penjagaan bayi serta kanak-kanak yang dijual di pasaran berisiko menyebabkan penyakit termasuk kanser kepada para penggunanya.

Pegawai Penyelidik Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Hatijah Hashim berkata, kesemua produk itu didapati mengandungi bahan kimia pengganggu endokrin (EDC) yang mampu membawa kemudaratan kepada tubuh badan manusia seperti metil paraben, etil paraben, propil paraben, isobutil paraben dan fenil paraben.
Katanya, dapatan itu diperoleh hasil daripada 32 sampul produk yang dihantar oleh CAP ke Korea Selatan untuk dikaji.
Dalam pada itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Zawiah Mansor menasihatkan orang ramai untuk tidak mudah terpengaruh dengan iklan atau testimoni yang melampau.

“Setiap produk yang dikeluarkan ada status notifikasi, jadi masyarakat boleh semak nombor tersebut di laman sesawang www.npra.gov.my,” katanya.

Menurutnya, masyarakat sendiri yang perlu cakna dan mendidik diri sendiri untuk tidak menggunakan produk-produk yang mempunyai kandungan berbahaya seperti merkuri kerana terlalu banyak barangan seperti itu di pasaran.

“Platform media sosial dan aplikasi pasaran atas talian juga menjadi ‘lubuk’ untuk menjual kosmetik yang bernotifikasi dan berpotensi terlepas daripada pemantauan pihak berwajib, sebab itu perlu cakna,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×