KALAU sudah namanya fanatik, daripada suara, melodi, lirik lagu, imej dan penampilan seseorang penyanyi itu tentunya akan diteliti dengan penuh perinci oleh kalangan peminat yang taksub memuja artis mereka.
Dari satu sudut, ia membawa aura yang bagus kerana penyanyi atau artis terbabit sentiasa mahu tampil terbaik demi peminat.
Maka, berlumbalumbalah mereka untuk menyajikan hasil kerja seni berkualiti dan adakalanya di luar kebiasaan.
Begitu juga dalam hal menghasilkan video muzik. Kalau lihat pada garapan video muzik artis-artis Selatan, rata-ratanya tidak bermain-main ‘menjual’ karya di layar visual.
Bahkan ada antara artis Korea yang gemar ‘mengisi’ video muzik dengan jalan cerita yang meninggalkan teka-teki atau tanda tanya kepada peminat.
Seperti penyanyi Barat, Taylor Swift yang cukup suka meninggalkan petanda tertentu dalam video muziknya! Jom ikuti siapa artis Korea yang gemar bermain teka-teki dengan peminatnya menerusi video muzik.
BTS – MV Run
MERUPAKAN sebuah naskhah lagu lama daripada kumpulan BTS, Run mengisahkan sekumpulan teman baik sedang asyik berpesta.
Namun, ia tidak cuma berkenaan itu. Persahabatan dan adegan pergaduhan yang dipaparkan dalam video muzik ini mencetuskan pelbagai tanda tanya dalam kalangan penonton yang menyebabkan peminatnya berulang kali menonton demi mendapatkan kepastian teori.
Ia juga dikatakan antara video muzik dengan durasi paling lama pernah dihasilkan oleh kumpulan ini.

New Jeans – MV Ditto
MENERUSI konsep ‘oldschool’ yang ditampillkan menerusi video muzik Ditto, kumpulan yang pernah terpalit dengan kontroversi bersama kumpulan Illit ini nampaknya gemar juga bermain teka-teki dengan peminatnya.
Menerusi video muzik ini, New Jeans memaparkan sekumpulan rakan baik mencuba menjadi sesuatu.
Mungkin juga mereka sedang berada di alam mimpi namun jalan cerita video muzik ini kekal menjadi tanda tanya ramai.

Stray Kids – MV Mixtape : OH
DIKATAKAN merupakan satu daripada muzik video yang mempunyai jalan cerita bersiri panjang, Mixtape: OH sebenarnya adalah antara video muzik yang meninggalkan kesan kepada peminatnya.
Bermula daripada penggayaan hingga kepada pemilihan palet warna untuk setiap babak visual yang dihasilkan, semuanya nampak mengagumkan Kononnya, setiap video muzik kumpulan Stray Kids dikatakan saling mempunyai kaitan dengan video muzik sebelumnya.
Disebabkan itu, peminat kumpulan ini sering berdebat dengan teori masing-masing setiap kali Stray Kids muncul dengan lagu dan video muzik baharu.

TXT – MV Eternally
ADA yang berpendapat, aura kumpulan ini cukup berbeza setiap kali muncul dengan video muzik baharu.
Ini kerana setiap kalinya, mereka seakan bukan menampilkan video muzik, tetapi lebih kepada menghasilkan filem! Biarpun video muzik lagu ini mengambil durasi masa selama 20 minit, tetapi pengisian jalan ceritanya dikatakan luar biasa.
Banyak idea yang diterapkan dan semuanya terpulang kepada bagaimana cara peminat untuk mengupas mesej yang disampaikan.

Pink Velvet – MV Peak a Boo
BERMAIN dengan elemen warna merah yang juga memotretkan konsep nama kumpulan tersebut iaitu velvet, sukar untuk menggambarkan apakah intipati sebenar yang ingin disampaikan oleh kumpulan ini menerusi video muzik ini.
Walaupun lagu tersebut dikatakan menarik untuk didengar dengan elemen ceria di telinga penggemarnya, namun video muziknya pula menekankan elemen seram dan misteri.
Kontra bukan? Hingga kini peminat masih bingung cuba memahami mesej sebenar video muzik ini.










