Banyak cabang dalam bidang sastera boleh dijadikan bukan sahaja sebagai pelantar malah menjadi penggerak menyuburkan bidang tersebut.
Selain kegiatan formal seperti seminar, perdebatan, diskusi satu lagi kaedah yang berkesan adalah menerusi penulisan dan penghasilan karya sastera pelbagai genre antaranya termasuklah novel, puisi dan penghasilan bahan penulisan lain seperti buku.
Ini yang cuba dilakukan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), apabila melancarkan projek penerbitan buku berskala besar menerusi inisiatif Penerbitan Buku PENA Malaysia MADANI dalam usaha memperkayakan karya sastera tempatan .
Presiden PENA Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata, menerusi projek tersebut, pihaknya membuka peluang kepada penulis tempatan untuk menerbitkan karya mereka dan menyumbang ke arah memperkaya khazanah sastera bangsa.
Beliau berkata, menerusi inisiatif tersebut, sebanyak 100 judul buku disasarkan dapat diterbitkan.
Maka PENA, kata beliau membuka pintu bagi pelbagai genre penulisan terutamanya sastera iaitu novel, novel remaja, novel kanak-kanak, cerpen, dan puisi, buku umum, hingga buku bergambar kanak-kanak.
“PENA mengumumkan pelaksanaan projek penerbitan buku berskala besar ini yang mendapat dukungan Perdana Menteri Datuk, Seri Anwar Ibrahim berdasarkan pelaksanaan daripada
Belanjawan 2024 yang bertujuan untuk memajukan industri kreatif, khususnya bidang penulisan di Malaysia,” ujarnya.
Beliau memberitahu, manuskrip karya-karya tersebut boleh mula dihantar mulai 1 Ogos hingga 15 November tahun ini
Tambah beliau, penulis tempatan bukan sahaja menyambut baik malah bersemangat untuk menyumbang karya melalui projek dan menganggap sebagai satu ‘angin segar’ kepada golongan tersebut.
“Kami sangat berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana meyakini bahawa karya sastera merupakan kaedah terbaik ke arah pembentukan nilai kemanusiaan, memainkan peranan penting dalam membentuk pemahaman budaya, kesedaran sosial, dan pemikiran kreatif dalam kalangan masyarakat,” ujar Dr. Mohamad Saleeh.
Mohamad Saleeh berharap menerusi inisiatif tersebut, ia dapat melahirkan generasi penulis baharu yang berkualiti dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Kami percaya setiap penulis memiliki potensi yang luar biasa. Melalui projek penerbitan ini, kami ingin memberikan mereka peluang dan kesempatan untuk mengembangkan bakat dan berkarya secara maksimum,” ujarnya lagi.
Justeru PENA mengajak seluruh penulis tempatan untuk turut serta dalam projek penerbitan tersebut.
Dengan mengirimkan karya terbaik sehingga dapat diterbitkan, PENA menganggap ia merupakan salah satu usaha atau pun sumbangan bermakna terhadap kemajuan khazanah sastera bangsa Malaysia.
Sementara itu Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) menyambut baik pelancaran projek penerbitan buku PENA – MALAYSIA MADANI yang berskala besar dan mendapat dukungan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
PEMUISI turut mengucapkan tahniah kepada PENA yang merupakan persatuan lama kewujudannya di tanah air.
PENA yang baru mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa bangsa Bersatu (UNESCO) berjaya mendapat peruntukan kerajaan sebanyak RM2.5 juta bagi projek tersebut.
Presiden PEMUISI Datuk Dr. Radzuan Ibrahim berkata, pihaknya yakin PENA akan dapat mengendalikan projek itu dengan adil dan telus, tidak hanya berkisar dalam kalangan yang dekat dengan mereka sahaja.

Kata beliau, semua golongan penulis tempatan seharusnya mendapat faedah dan mengambil peluang menyertai projek daripada dana kerajaan tersebut.
“Bagi PEMUISI, sudah sampai masanya kerajaan memberi peruntukan yang lebih besar bukan sahaja kepada PENA, tetapi juga persatuan-persatuan penulis yang lain dalam usaha memperbanyakkan bahan sastera karya rakyat Malaysia.
“Selain itu, kami menggesa kerajaan Madani memasukkan semula pelajaran sastera dan diajarkan di semua sekolah di Malaysia, termasuk sekolah Cina dan Tamil.
“Dengan adanya pelajaran sastera, ia boleh membentuk jiwa murni dan luhur dalam kalangan anak-anak kita, menjadikan masyarakat kita harmoni, hidup dalam aman damai dan bersatu hati, bukan omong-omong kosong sahaja,” ujarnya.
Pihaknya berharap projek tersebut akan terus diadakan pada masa-masa hadapan, dan semua persatuan penulis diberikan hak yang sama dalam memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan melalui karya sastera.
PEMUISI akan terus berjuang dalam mengangkat sastera khususnya puisi dan pemuisi ke peringkat yang lebih tinggi di persada sastera tanah air, “ ujarrnya lagi.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan Madani yang menyediakan peruntukan besar bagi menghasilkan buku-buku sastera yang berkualiti dan diharap pelajaran sastera juga diajarkan semula di sekolah-sekolah, supaya roh sastera akan segar kembali dalam era masyarakat Madani.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penyair Malaysia (Penyair) Sasterawan Negara Datuk Dr. Rahman Shaari mengucapkan tahniah kepada PENA kerana berjaya mendapat peruntukan untuk membiayai projek tersebut. – UTUSAN










