372 syarikat terlibat penipuan pelaburan

372 syarikat terlibat penipuan pelaburan

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 372 nama syarikat sudah didaftarkan dalam portal SemakMule sehingga 31 Julai lalu kerana disyaki terlibat dengan kegiatan penipuan pelaburan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak 392 kertas siasatan membabitkan penipuan pelaburan dibuka sejak 2022 sehingga Julai lalu membabitkan kerugian RM 135.5 juta.

Kata beliau, daripada jumlah itu, kertas siasatan paling banyak dibuka pada tahun lalu dengan 192 aduan diterima membabitkan kerugian RM69.5 juta.

“Jumlah kertas siasatan masih tinggi dibuka pada tahun ini iaitu dengan 100 aduan melibatkan kerugian RM43.2 juta diikuti 100 kertas siasatan membabitkan kerugian lebih RM22.7 juta pada 2022,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini semalam.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, modus operandi yang digunakan penjenayah dalam mencari mangsa adalah dengan menawarkan pelaburan ini berlaku secara bersemuka atau dalam talian.

Katanya, menerusi secara bersemuka, mangsa akan diberi penerangan dalam sesi taklimat dianjurkan di pejabat syarikat atau hotel, selain terpengaruh kenalan atau ahli keluarga yang menerima pulangan pelaburan peringkat awal.

“Bagi penipuan pelaburan dalam talian, mangsa selalunya terpedaya iklan dalam media sosial. Ramai mangsa dimasukkan ke dalam kumpulan sosial terpengaruh dengan hantaran ‘scammer’ yang turut menyamar sebagai pelabur kononnya sebagai testimoni yang berjaya mendapat pulangan lumayan,” jelasnya.

Beliau menambah, ada juga mangsa yang akan diberi tip pelaburan betul pada peringkat awalnya.

“Selepas tempoh sebulan ‘admin’ kumpulan atau ‘guru pelaburan’ berkenaan akan memperkenalkan peluang pelaburan baharu atau menggunakan nama syarikat yang akan disenaraikan dalam saham pra-tawaran awam permulaan (IPO) untuk mangsa membuat bayaran pelaburan ke akaun keldai syarikat.

“Majoriti mangsa tidak akan sedar ditipu sehinggalah mereka ingin membuat pengeluaran pelaburan yang mana selalunya ‘scammers’ akan meminta mangsa membuat lagi bayaran mengikut peratusan pengeluaran ingin dibuat,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Ramli berkata, sebanyak 3,293 kes penipuan pelaburan membabitkan kerugian RM405.1 juta direkodkan pihaknya tahun ini setakat 31 Julai.

Jelas beliau, jumlah berkenaan menurun berbanding 5,554 kes dengan kerugian RM475.4 juta (2023) dan 3,294 kes dengan kerugian RM217.9 juta (2022). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×