SEPANG: Seorang mangsa pemerdagangan manusia menceritakan dia bagai ‘barang dagangan’ beberapa sindiket di Myanmar selepas tertipu dengan rakan yang menjanjikan kerja bergaji lumayan.
Tan (bukan nama sebenar) berusia awal 30-an dari Kajang, Selangor berkata, dalam tempoh setahun ‘didagangkan’ hidupnya menderita kerana turut didera sindiket jenayah tersebut.
“Semua ahli geng kumpulan bersenjatakan pistol dan saya gagal berhubung dengan dunia luar menyebabkan saya susah hendak meminta bantuan,” katanya kepada pemberita ketika tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini malam semalam.
Kepulangan Tan yang masih bujang, disambut Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamudin Hashim.
Mengulas lanjut, Tan mengakui tidak sedar ditipu oleh rakan baiknya yang memujuknya berhijrah ke Thailand dengan ditawarkan dengan gaji besar.
“Rupanya saya dijual kepada sindiket sejurus sampai di Bangkok dan dibawa menaiki kereta ke Maesot sebelum diseludup memasuki Myanmar,” katanya.
Selain itu, katanya, dia turut dikerah bertugas sebagai ejen panggilan penipuan atas talian palsu dengan sasaran pelanggan di Malaysia serta negara serantau.
Ceritanya, jika gagal memenuhi sasaran dia dipukul dengan teruk bahkan dijual kepada beberapa geng pemerdagangan lain.
Bagaimanapun, jelas Tan nasib menyebelahinya ketika digadai kepada satu sindiket di Segi Tiga Emas Laos selepas dibawa masuk secara haram dari Tachileik, Myanmar.
“Dari situ, saya dapat menghubungi MHO yang melarikan saya dengan menyeberangi sempadan ke Thailand,” katanya.
Jika sebelum ini dalang kegiatan pemerdagangan manusia di Myanmar sering kalinya dikaitkan golongan Cina dengan ramai mangsa juga dari kalangan kaum tersebut.
Sementara itu, ironi, jenayah yang serupa berlaku di negara jirannya pula, Laos menyaksikan penglibatan majoriti besar oleh masyarakat Melayu sendiri yang aktif menjadi geng tali barut sindiket.
Perkara itu dibongkar oleh aktivis Pertubuhan Kemanusiaan MHO, Azirul Syafiq Sazali berdasarkan kes mangsa yang diselamatkan dari sana.
“Kawasan tumpuan mereka ketika ini ialah Segi Tiga Emas, yang terletak di Sungai Mekong bersempadan Myanmar dan di sini ramai barua adalah orang Melayu pula,” katanya kesal.
Terdahulu beliau bersama kepimpinan MHO menyambut kepulangan seorang mangsa dari Laos di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini lewat malam semalam.
Pertubuhan bukan kerajaan itu ujarnya, menganggarkan terdapat seramai 200 warga Malaysia yang berada di sana setelah diseludup dari Myanmar kerana isu konflik perang saudara.
Segi tiga itu yang turut dikenali sebagai Zon Ekonomi Eksklusif, meliputi kawasan seluas 3,000 hektar mula dibangunkan oleh Laos sejak 2007 dengan usahasama kerajaan China. – UTUSAN










