VEP kawal kenderaan masuk melalui jalan darat

VEP kawal kenderaan masuk melalui jalan darat

Seorang petugas mengimbas pelekat RFID pada kenderaan Singapura yang membuat pendaftaran Permit Masuk Kenderaan (VEP) di Danga Bay, Johor Bahru . – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP) yang akan dilaksanakan 1 Oktober ini adalah langkah untuk mengawal kenderaan keluar masuk ke negara ini melalui jalan darat.

Sehubungan itu, VEP ini juga bertujuan menjaga keselamatan negara serta kesaksamaan dalam mengukuhkan hubungan antara dua hala.

Pakar kejuruteraan lebuh raya, Prof. Madya Dr. Ng Choy Peng berkata, VEP sangat penting dilakukan bagi mengawal kenderaan persendirian yang masuk ke dalam Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, VEP juga perlu diperkenalkan kepada semua negara yang memasuki Malaysia melalui sistem jalan raya atau darat.

“Pihak berkuasa tempatan juga boleh mengawal jumlah kenderaan yang keluar masuk ke Malaysia dan mengenal pasti kenderaan itu sekiranya terlibat dengan pelanggaran undang-undang jalan raya, kemalangan dan sebagainya.

“Singapura sudah lama melaksanakan VEP untuk memasuki negara tersebut. Oleh itu, sudah pasti pemandu di negara tersebut akan lebih mematuhi peraturan jalan raya semasa memandu di Malaysia dengan ada pelaksanaan VEP ini.

“Pihak polis juga boleh membantu dalam hal ini dengan melakukan operasi sekatan jalan bagi pemeriksaan kenderaan yang memasuki Malaysia melalui sempadan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam akhbar ini melaporkan, penguatkuasaan sistem VEP bermula 1 Oktober ini bukan untuk menakut-nakutkan pemandu Singapura daripada memasuki negara ini.

Sebaliknya kata Menteri Pe­ngangkutan, Anthony Loke Siew Fook, penguatkuasaan VEP bagi memastikan setiap kenderaan asing yang memasuki negara ini berdaftar.

“Kita bukan hendak takutkan mereka kerana kita memang galakkan rakyat Singapura masuk Malaysia dan berbelanja di sini, namun perlu ikut peraturan tempatan.

“Kita mahu guna sistem ini untuk pastikan maklumat setiap kenderaan yang memasuki Malaysia. Kita juga dapat tahu sama ada kenderaan itu memiliki saman tertunggak di negara ini atau sebaliknya, itu matlamat kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau operasi Pusat Kutipan VEP (VCC) di Danga Bay.

Dalam pada itu, Presiden Institut Piagam Pengangkutan dan Logistik Malaysia (CILTM), Prof. Dr. Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein berkata, pelaksanaan VEP adalah langkah untuk kesaksamaan dalam hubungan dua hala.

Menurutnya, Singapura telah mengenakan VEP lebih awal daripada Malaysia dan ini tidak akan memberikan sebarang kejutan kepada rakyatnya.

“Sepatutnya VEP telah dilaksanakan dahulu lagi agar dapat merekodkan kemasukan kenderaan sepertimana dinikmati negara jiran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini