KUALA LUMPUR: Polis menembak mati empat penjenayah di dua lokasi selepas terlibat dalam kes penculikan membabitkan seorang lelaki warga China dan seorang wanita tempatan di Plaza Tol Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) pada 11 Julai lalu.
Kesemua penjenayah berkenaan maut selepas dalam kejadian berbalas tembakan di Skudai, Johor, malam tadi.
Menurut sumber Bukit Aman, dalam operasi sama, empat lagi individu termasuk seorang wanita berusia antara 25 hingga 43 tahun turut ditahan di sekitar daerah berkenaan.
Jelas sumber itu, pada mulanya, lelaki dan wanita berkenaan telah diculik oleh empat individu tidak dikenali menggunakan kenderaan Toyota Alphard dengan nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan pada pukul 11 pagi.
Beliau menambah, kedua-dua mangsa kemudian dibebaskan di tepi Jalan Pedas-Linggi di Negeri Sembilan pada 15 Julai lalu setelah adik kepada lelaki warga China itu membayar wang tebusan dalam bentuk mata wang kripto berjumlah RM5.5 juta (AS$1.2 juta)
“Hasil risikan dan siasatan, polis berjaya mengenal pasti suspek terlibat sebelum mengekori seorang suspek yang memandu kereta Perodua Kelisa di Jalan Skudai-Gelang Patah, Johor pada 11.25 malam, kelmarin.
“Suspek yang menyedari diekori kemudian melepaskan tembakan ke arah kereta polis sebelum beberapa tembakan dilepaskan pasukan keselamatan bagi mempertahankan diri.
“Tindakan itu menyebabkan suspek berusia 51 tahun maut dan pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit menemukan sepucuk pistol,” katanya.
Sumber berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau dan pernah dikenakan perintah tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959.
Beliau memberitahu, susulan itu, tiga lagi penjenayah turut maut dalam kejadian tembak-menembak di sebuah rumah teres di Taman Emas Skudai pada tengah malam, kelmarin.
Jelasnya, sepasukan polis yang hadir ke rumah berkenaan telah memperkenalkan diri, namun tiada individu membuka pintu.
“Sebaik sahaja polis memasuki rumah tersebut, beberapa das tembakan dilepaskan dari dalam rumah ke arah mereka.
“Berlaku kejadian berbalas tembakan dan tiga suspek lelaki berusia antara 35 sehingga 45 tahun telah terkena tembakan dan mati di tempat kejadian.
“Pemeriksaan di rumah itu menemukan sebilah parang dan dua pucuk pistol,” jelasnya.
Tambahnya, siasatan awal mendapati kumpulan ini hanya terlibat dengan satu kes culik.
“Kita (polis) sedang menyiasat di mana wang tebusan yang dibayar disimpan. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian culik berkenaan diminta tampil membantu siasatan,” katanya lagi. – UTUSAN










