Israel terus zalim serang sekolah, pusat perlindungan

Israel terus zalim serang sekolah, pusat perlindungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tentera Israel sekali lagi menunjukkan kekejamannya dengan menyasarkan sekolah dan pusat perlindungan yang menjadi tempat perlin­dungan sementara bagi rakyat Palestin yang telah kehilangan rumah mereka akibat serangan terdahulu.

Serangan udara tentera Israel di Khan Younis yang menempatkan ratusan pelarian mengakibatkan kematian dan kecede­raan yang melibatkan golongan kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin di Gaza, Omar Seyam berkata, ia merupakan tempat bagi rakyat Palestin menyelamatkan diri apabila keba­nyakan kediaman mereka musnah dibedil tentera Israel.

Menurut beliau, tentera Israel melancarkan serangan udara peluru berpandu ketika kebanyakan penduduk sedang tidur yang menghancurkan sebahagian besar bangunan sekolah.

“Dalam serangan itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun kehilangan kesemua ahli keluarganya iaitu ibu bapa dan dua adik-beradik perempuannya.

“Ia satu peristiwa yang me­nyayat hati kerana kanak-kanak tersebut masih kecil dan sudah tidak mempunyai tempat bergantung untuk menjalani proses membesar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, Omar Seyam berkata, tentera Israel mensasarkan serangan terhadap golongan wa­nita dan kanak-kanak kerana matlamat mereka untuk menghapuskan generasi rakyat Palestin.

Katanya, pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh tentera Israel di Gaza meragut nyawa lebih daripada 40,000 rakyat Palestin yang syahid dan mencederakan hampir 100,000 orang setakat ini.

“Hospital tempatan kini dipe­nuhi dengan mangsa yang cede­ra, malah keadaan menjadi semakin sukar dengan kekurangan bekalan perubatan. Petugas perubatan berusaha sebaik mungkin untuk merawat mangsa yang terselamat walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan.

“Kanak-kanak dan wanita adalah golongan yang paling terdedah dalam mana-mana konflik. Me­nyerang mereka adalah satu tindakan yang sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan,” jelasnya.

Tambahnya, tragedi itu menambah luka rakyat Palestin yang lama menderita akibat konflik berpanjangan. Harapan mereka hanya untuk hidup dalam keamanan semakin pudar dengan serangan demi serangan yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×