Cetak rompak di sekolah yang dihalalkan

Cetak rompak di sekolah yang dihalalkan

KESEDARAN mengenai hak cipta dan kepentingan menghormati hasil karya orang lain perlu dipupuk sejak awal supaya budaya cetak rompak dalam kalangan pendidik boleh dinoktahkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BUDAYA cetak rompak di Malaysia menjadi masalah yang semakin meruncing dan seolah-olah dihalalkan dalam sesetengah keadaan. Fenomena ini tidak terkecuali kepada golongan pendidik, termasuk guru-guru di sekolah dan pusat tuisyen yang kerap menggunakan bahan pengajaran yang di fotostat daripada buku kerja, buku rujukan dan pelbagai buku lain.

Keadaan ini berlaku akibat beberapa faktor. Antaranya, kekurangan bajet untuk membeli bahan asli, keperluan segera untuk bahan pengajaran dan kesedaran yang rendah tentang hak cipta serta kepentingan memelihara hak penulis.

Walau bagaimanapun, tindakan ini secara tidak langsung memberi kesan negatif kepada industri penerbitan dan penulis yang mencurahkan masa serta tenaga untuk menghasilkan karya berkualiti.

Nasib penulis sangat terjejas oleh budaya cetak rompak ini. Penulis yang menggantungkan harapan kepada hasil jualan buku mendapati pendapatan berkurangan apabila buku-buku mereka difotostat secara berleluasa.

Tanpa pendapatan yang mencukupi, penulis mungkin hilang motivasi untuk menghasilkan karya-karya baharu, yang akhirnya mengurangkan jumlah bahan berkualiti untuk pelajar dan guru. Ini adalah satu kerugian besar kepada dunia pendidikan kerana bahan-bahan berkualiti penting untuk meningkatkan kualiti pembelajaran.

Budaya cetak rompak mempunyai kesan jangka panjang terhadap anak didik. Apabila pelajar melihat guru dengan mudah melanggar undang-undang hak cipta, mereka mungkin menganggap bahawa tindakan tersebut adalah wajar dan boleh diterima. Ini boleh mengajar mereka bahawa melanggar undang-undang boleh diabaikan jika keadaan memerlukan.

Jadi, untuk menyelesaikan isu ini, beberapa langkah perlu diambil oleh pihak berwajib dan masyarakat. Pertama, kesedaran mengenai hak cipta dan kepentingan menghormati hasil karya orang lain perlu dipupuk sejak awal.

Program pendidikan mengenai hak cipta boleh dimasukkan dalam kurikulum sekolah untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang isu ini. Selain itu, pihak sekolah dan pusat tuisyen perlu diberikan peruntukan yang mencukupi untuk membeli bahan pengajaran yang asli. Ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada bahan fotostat dan seterusnya mengurangkan amalan cetak rompak.

Pihak berkuasa juga perlu memperketatkan penguatkuasaan undang-undang hak cipta. Tindakan tegas perlu diambil terhadap individu atau institusi yang terlibat dalam cetak rompak untuk menunjukkan bahawa perbuatan tersebut adalah salah dan tidak boleh diterima.

Di samping itu, industri penerbitan perlu mencari cara-cara inovatif untuk memastikan bahan-bahan pengajaran lebih mudah diakses dan mampu milik. Penggunaan teknologi digital untuk menyebarkan bahan pengajaran juga boleh menjadi satu alternatif yang baik, dengan kos penghasilan bahan boleh dikurangkan dan pada masa sama, hak cipta penulis masih terpelihara.-UTUSAN

AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×