PETALING JAYA: Ringgit terus melonjak apabila mencapai RM4.49 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semalam, terbaik dalam tempoh hampir 15 bulan.
Semalam, ringgit meneruskan pengukuhan untuk 10 hari berturut-turut apabila ditutup kukuh pada 4.4950/5000 berbanding dolar AS pada pukul 5 petang daripada 4.5680/5740 pada Khamis.
Terdahulu, pada 8 pagi, ringgit naik 30 mata asas kepada 4.5645/5725 berbanding dolar AS dan kali terakhir mata wang negara ditutup pada 4.49 adalah pada 16 Mei 2023.
Perkembangan tersebut meletakkan ringgit sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia tahun ini.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit akan terus mengukuh diantara RM4.48 hingga RM4.49 pada minggu hadapan, didorong oleh situasi ekonomi AS,
Katanya, pemotongan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS yang dijangka berlaku pada September dan Disember nanti, meletakkan tempoh masa ini sesuai pelaksanaan dasar monetari bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.
“Data ekonomi juga dilihat menyokong ke arah pengurangan kadar faedah seperti kadar inflasi yang semakin menurun sera situasi pasaran buruh yang semakin melemah apabila kadar pengangguran dilihat semakin meningkat.
“Oleh itu, prospek pada minggu hapadan bagi ringgit masih cerah. Ini kerana nilai ringgit masih dilihat terkurang nilai.
“Asas-asas ekonomi yang baik seperti inflasi yang stabil serta dasar ekonomi yang bersifat reformis dijangka akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini, semalam.
Sementara itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, beliau menjangkakan ringgit pada kadar RM4.45 hingga RM4.49 minggu hadapan.
Jelas beliau, ini disebabkan sentimen bahawa Fed akan menurunkan kadar faedah seawal bulan September tahun ini dan terus mempengaruhi mata wang dunia lain termasuk Malaysia berbanding dolar AS yang nilainya semakin menurun.
“Bagaimanapun, Pengerusi Fed, Jerome Powell yang mengumumkan unjuran tersebut tetap mengatakan pelaksanaan itu bergantung kepada prestasi ekonomi dan kadar inflasi AS.
“Kadar faedah Nota Perbendaharaan AS juga menurun dibawah empat peratus untuk tiga tahun dan lima tahun, masing-masing berada pada 3.953 peratus dan 3.829 peratus, ini juga memberikan petunjuk penurunan kadar untuk jangka panjang,” katanya.-UTUSAN










