MELAKA: Seorang penjawat awam manakala seorang lagi pesara kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan bersubahat dan menerima suatu barang berharga berjumlah RM27,100.
Tertuduh, Yusmawati Mohamad Yussop, 48, dan Rosni Leman, 61, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Yusmawati ketika bertugas sebagai ketua pembantu tadbir telah menerima suatu barang berharga iaitu wang tunai berjumlah keseluruhan RM27,100 tanpa balasan daripada kontraktor salah sebuah syarikat pengiklanan di Melaka.
Ia bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan yang ditawarkan di jabatan tersebut.
Rosni pula didakwa bersubahat dengan Yusmawati melakukan kesalahan itu yang mana kesalahan tersebut dilakukan hasil persubahatan dengan Yusmawati.
Yusmawati didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan manakala Rosni didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohammad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh untuk kesemua pertuduhan.
Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Melaka sebulan sekali sehingga kes selesai. – UTUSAN










