IPOH: Media memainkan peranan dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangkis sebarang persepsi negatif rakyat terhadap pasukan keselamatan itu.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, maklumat yang disampaikan menerusi media dapat menghalang rakyat membuat andaian sendiri atau mereka-rekakan cerita sehingga menenggelamkan kisah sebenar.
“Sejak akhir-akhir ini, terdapat kumpulan atau individu yang menggunakan media sosial untuk mencemarkan imej PDRM di dalam dan di luar negara.
“Fakta dan maklumat yang disebarkan melalui internet ini adalah sesuatu yang boleh dieksploitasi mengikut kehendak individu atau kumpulan yang memiliki agenda tertentu dalam membentuk persepsi pengguna.
“Dalam kata lain, pendekatan sekarang adalah mengenai perang persepsi di mana polis perlu menjalin kerjasama erat dengan media dalam memasang strategi untuk menepis persepsi jahat kepada PDRM,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ketua Polis Perak Bersama Media Negeri Perak di Hotel Excelsior, di sini semalam.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat; ketua-ketua jabatan Kontinjen Perak dan ketua-ketua polis daerah.
Pada majlis itu, lebih 50 pengamal media diraikan meliputi wakil daripada pelbagai media cetak, elektronik serta portal berita dalam talian.
Mengulas lanjut Azizi berkata, dalam usaha menangani persepsi buruk itu, beliau menyarankan warga polis Perak untuk membaca buku ‘The Art Of War’ karya Sun Tzu yang merupakan seorang general dan pakar strategi.
Katanya, Sun Tzu mengajar beberapa strategi yang boleh diadaptasikan ke dalam kehidupan seharian sekali gus membawa perubahan dalam organisasi.
“Warga polis Perak perlu berfikir secara strategi dan melihat bagaimana keseimbangan kuasa dan ancaman dapat digunakan untuk menangani isu perang persepsi ini.
“Kita perlu bijak menggunakan kuasa yang dimiliki untuk menepis ancaman, namun jangan sampai kita menyalahgunakan kuasa.
“Salah satu strategi Sun Tzu, apabila musuh kuat, kita undur dan apabila musuh lalai, maka itulah waktu yang sesuai untuk kita bertindak.
“Begitu juga dalam menangani persepsi buruk rakyat terhadap PDRM, kita perlu tahu bila masanya untuk kita diam dan bila masa sesuai untuk kita bangkit bersuara,” ujar beliau. – UTUSAN











