GEORGE TOWN : Suspek lelaki yang bertindak melanggar seorang anggota polis berpangkat konstabel ketika sedang menjalankan Op Tapis Khas di kawasan Klinik Kesihatan di Sungai Dua, Selasa lalu berjaya ditahan di kawasan Air Itam, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu, suspek yang juga dipercayai seorang penagih dadah melanggar anggota polis terbabit dengan motosikal sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk kepala.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid, semakan awal mendapati, suspek mempunyai 14 rekod lampau berkaitan dadah dan empat kes jenayah.
“Dia (suspek) yang berusia 44 tahun itu juga positif dadah dan kini direman untuk siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, Razlam berkata, sepasukan anggota polis telah menjalankan Op Tapis Khas dalam kawasan klinik tersebut pada hari kejadian.
“Op tersebut dijalankan selepas polis menerima aduan terdapat kegiatan penjualan dadah kepada penagih yang menerima rawatan metadon di situ.
“Ketika polis cuba menahan lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Kriss, suspek telah bertindak melanggar anggota polis berusia 27 tahun itu kerana mahu melarikan diri dari ditahan pihak berkuasa,” katanya.
Tambah Razlam, mangsa yang mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk kepala telah diberi rawatan awal di klinik kesihatan tersebut sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.
“Anggota polis ini menerima rawatan sebagai pesakit luar di HPP dan dia juga telah diberikan cuti sakit,” katanya.-UTUSAN










