GEORGE TOWN: Kegiatan dua sepupu yang aktif dalam pengedaran dadah jenis ganja sejak Mac lalu akhirnya terbongkar selepas kedua-duanya ditahan polis dalam satu serbuan kira-kira pukul 8.38 malam di Jalan Perak, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid berkata, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 18 dan 28 tahun itu ditahan di kawasan parkir sebuah kawasan perumahan di situ.
Katanya, susulan penahanan terbabit, polis turut merampas dadah jenis ganja seberat 52.59 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM163,047.
“Ketika serbuan dijalankan, mereka dipercayai baru sahaja memperoleh dadah jenis ganja daripada ‘supplier’ (pembekal) menerusi jalan darat dan semasa ditahan, kedua-duanya sedang memasukkan kotak berwarna coklat yang disyaki berisi dadah ke dalam sebuah kereta pacuan empat roda,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Menurut Razlam, hasil serbuan dan pemeriksaan, polis kemudian berjaya merampas kotak berkenaan yang mengandungi 20 ketulan mampat daun kering yang dibalut plastik lutsinar, disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 21.04 kg, bernilai RM65,227.

“Selain itu, polis turut menjumpai satu alat penggera kereta bertulis Ford dan pemeriksaan lanjut oleh pasukan serbuan terhadap sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger di lokasi yang sama juga berjaya merampas dua kotak berwarna coklat (berisi dadah).
“Di dalam kotak ini pula, terdapat kira-kira 30 ketulan mampat daun kering yang dibalut plastik lutsinar, disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 31.55 kg bernilai RM97,820,” katanya yang memaklumkan, hasil risikan mendapati, aktiviti pengedaran dadah untuk pasaran tempatan itu bermula sejak awal Mac lalu.
Tambah Razlam, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh kira-kira 105,192 orang penagih atau bersamaan 105,192 kali penggunaan.
“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan pula mendapati, suspek pertama iaitu lelaki berusia 28 tahun yang bekerja sebagai juruteknik pendawaian elektrik negatif dadah.
“Bagaimanapun, suspek kedua yang berusia 18 tahun yang juga pembantu kepada suspek pertama dalam menjalankan kerja-kerja pendawaian elektrik, didapati positif dadah jenis ganja serta memiliki dua rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.
Dalam pada itu, Razlam berkata, kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari iaitu bermula dari tarikh mereka ditangkap sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut.
“Polis turut menyita wang tunai berjumlah RM2,300 dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-UTUSAN









