TAIPEI: Seorang lelaki yang kehilangan iPhone secara tidak sengaja ketika sedang mendayung di sebuah tasik pada Mac tahun lalu, berjaya menemui semula telefon pintarnya selepas lebih setahun.
Lapor Oddity Central, telefon pintar Apple yang jatuh dalam tasik itu, ditemukan dalam keadaan berlumpur dan masih berfungsi.
Dilaporkan, telefon pintar itu hanya perlu dicas dan boleh berfungsi seperti biasa.
Baru-baru ini, pemiliknya, Chen Yj dari Taiwan memuatnaik beberapa gambar dan satu hantaran yang mengisahkan bagaimana telefon pintarnya masih berfungsi selepas setahun jatuh dalam tasik.
Menceritakan mengenai kisah itu, Chen berkata, dia kehilangan iPhone pada 11 Mac 2020 ketika mendayung di Tasik Sun Moon di Taiwan.
Katanya, ketika kejadian, dia terjatuh daripada papan luncurnya sehingga telefon pintarnya turut tenggelam dalam tasik.
Jelas Chen, dia memasukkan telefon pintarnya dalam sarung plastik kalis air sebelum mendayung di tasik tersebut.
Menurut Chen, pada bulan lalu, rakannya berjaya menemui semula iPhone dari permukaan air berlumpur di tasik tersebut.
“Tahap air di Tasik Sun Moon menurun disebabkan mengalami kekurangan hujan sehingga membolehkan telefon pintar itu ditemui semula,” katanya.











