Jangan mudah terpengaruh dengan pempengaruh

Jangan mudah terpengaruh dengan pempengaruh

PASTIKAN kesahihan kandungan media yang dimuat naik oleh individu atau pempengaruh yang anda ikuti serta laksana kajian ringkas berhubung maklumat yang dikongsikan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-baru ini gempar dengan berita penahanan pasangan pempengaruh dan beberapa orang individu yang menyeleweng dana derma awam. Sejumlah 20 akaun bank beserta jumlah wang simpanan yang banyak merupakan faktor utama kepada penahanan tersebut.

Jadi, kebarangkalian hal ini akan berlaku sangat tinggi apabila masyarakat mudah terpengaruh dengan pempengaruh yang berkongsi maklumat kempen derma melalui platform media sosial mereka.

Jika diperhatikan, terutamanya di laman media sosial, kita dapat lihat dengan mudah kempen-kempen derma dilakukan.

Lebih-lebih lagi yang melibatkan kutipan sumbangan bagi bantuan bencana alam, peperangan, infak, juga pembangunan madrasah yang mudah meraih simpati masyarakat.

Namun, apabila diteliti dengan lebih dekat, kebanyakan kempen derma dalam talian ini menggunakan individu-individu yang terkenal seperti selebriti dari pelbagai bidang, juga pempengaruh yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat kita.

Maka tidak mustahil masyarakat dilihat begitu yakin memberikan sumbangan kepada pempengaruh ini.

Dalam Islam, jelas bahawa wakil derma tidak boleh mengambil wang sumbangan untuk tujuan selain sumbangan kepada pihak yang dipersetujui, kecuali dengan izin penderma.

Oleh itu, penting untuk penderma tahu ke mana wang sumbangan dialirkan.

Bagi pempengaruh, pastikan tahu dengan jelas bagaimana proses sumbangan wang derma dilakukan dan bagaimana sumbangan akan sampai ke pihak yang memerlukan.

Jangan kerana dijanjikan dengan komisen atau saguhati sebagai bayaran khidmat promosi derma, hukum-hukum agama dan undang-undang diketepikan. Berhati-hatilah dalam membuat kandungan yang cuba untuk mengutip derma atau mempromosikan derma.

Malah, sebagai seorang selebriti atau pempengaruh, adalah besar tanggungjawab untuk memegang kepercayaan yang diberikan oleh para pengikut agar mereka tidak melakukan tindakan yang terburu-buru serta menjadi suri teladan kepada mereka.

Dewasa ini, semuanya bergantung kepada media baharu. Kerana itu langkah berhati-hati perlu diambil oleh pembuat kandungan media, atau penerima kandungan media supaya tidak terjerat dengan tindakan sendiri.

Dalam hal yang samar-samar seperti ini, masyarakat amat disarankan untuk lebih berhati-hati kerana ia melibatkan wang dan kepercayaan. Masyarakat juga dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan kandungan-kandungan yang tidak jelas latar belakangnya serta tujuan kandungan.

Bimbing diri untuk menjadi lebih bertanggungjawab terhadap kandungan media yang diterima. Kaji dan analisis sebelum melakukan sebarang tindakan dari diri sendiri atau juga kepada orang lain.

Menjadi masyarakat yang celik media adalah penting agar setiap maklumat yang diperoleh daripada media, tidak dipercayai 100 peratus lebih-lebih lagi jika yang memberi maklumat itu bukanlah pakar dalam bidang yang disampaikan.

Di samping itu, semak melalui sumber-sumber lain yang lebih diyakini kesahihan maklumatnya supaya tidak tersilap langkah. Pastikan kesahihan kandungan media yang dimuat naik oleh individu atau pempengaruh yang anda ikuti serta laksana kajian ringkas kesahihan maklumat yang dikongsikan.

Kadangkala, penapisan kendiri sangat diperlukan kerana tiada sesiapa yang dapat memantau keseluruhan penggunaan media kita. Hanya diri sendiri yang boleh mendidik diri sendiri.

Elakkan menanda suka, kongsi dan langgan secara membuta tuli. Sebagai pengguna media sosial bertanggungjawab, seeloknya semak dan sahkan maklumat kandungan media itu sebelum dikongsikan kepada orang lain.-UTUSAN

DR. SITI AISHAH MOHAMMAD RAZI
Pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×