Simpanan 30 tahun hampir setengah juta lesap diperdaya 'scammer' - Utusan Malaysia

Simpanan 30 tahun hampir setengah juta lesap diperdaya ‘scammer’

AHMAD ZAMRY MARINSAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Seorang lelaki hilang wang simpanannya selama 30 tahun berjumlah hampir setengah juta apabila terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud dalam talian pada pertengahan Julai lalu. 

Menurut Ketua Polis Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah, mangsa berusia 57 tahun itu memaklumkan tertarik dengan satu pelaburan saham setelah berkenalan dengan seorang wanita menerusi aplikasi WhatsApp.

“Mangsa yang juga bekerja sendiri itu telah berurusan dengan suspek menerusi aplikasi media sosial dan telah membuat pelaburan beberapa kali sebanyak RM440,050 ke dalam akaun yang diberikan sejak 16 Julai lalu.

“Dia dijanjikan oleh suspek dengan keuntungan sebanyak 200 peratus daripada jumlah pelaburan. Mangsa berasa amat teruja dengan janji suspek mengatakan mangsa mampu memperoleh keuntungan berlipat ganda dalam masa singkat dan dikehendaki membuat tambahan pelaburan bagi menebus keuntungan yang dijanjikan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mangsa terus diperdaya membuat pelaburan tambahan sehingga akhirnya melibatkan jumlah keseluruhan RM440,050 menerusi beberapa transaksi dan kali terakhir dibuat adalah minggu lalu.

Mangsa mula sedar ditipu apabila wang pelaburan daripada simpanan bekerja selama 30 tahun di sebuah negara jiran itu tidak mendapat sebarang pulangan, malah lesap kesemuanya dan kemudian membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, dua hari lalu.

“Langsung tidak masuk akal apabila pelabur dijanjikan keuntungan luar biasa ratusan kali ganda hanya dalam tempoh beberapa jam. Sindiket sengaja membuat mangsa gelap mata apabila berkongsi beratus testimoni ‘pelabur hantu’ serta gambar timbunan wang dan emas setiap hari kononnya hasil pulangan keuntungan,” katanya sambil memberitahu kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×