BIARPUN dunia pencipta kandungan atau content creator dilihat glamor namun mereka tidak terlepas daripada menerima kecaman netizen yang ada-ada sahaja tidak kena dengan selera mereka.
Kecaman dan kebencian adalah bayangan yang sering mengekori kehidupan pencipta kandungan.
Insiden kematian seorang pempengaruh dikenali sebagai Esha antara yang terkini dan hangat diperkatakan.
Mengakui kesal dengan insiden itu, pempengaruh media sosial, Eizuwan Eizuddin, 31, mengambil inisiatif untuk tidak membaca atau berinteraksi dengan komen-komen berbaur negatif yang boleh memudaratkan dirinya.
Sebaliknya, katanya itu adalah cara terbaik untuknya mengelakkan diri daripada terkesan dengan kata-kata netizen yang kadang kalanya boleh menjatuhkan semangat dan mengganggu kestabilan emosinya.
“Tidak semua content creator mempunyai ketahanan mental yang kuat. Ada yang mungkin mengambil hati dengan setiap komen negatif.
“Apabila terlalu banyak kritikan diterima, seseorang itu mungkin tidak dapat mengawal perasaan dan menjadi sangat tertekan,” ujarnya.
Eizuwan yang terkenal di media sosial menerusi kandungan mengenai gajet seperti ulasan produk, tutorial penggunaan dan perbandingan teknologi terkini, hingga kini memiliki lebih daripada 500,000 pengikut.
Menurut Eizuwan, bagi menghalang daripada tekanan, pempengaruh perlu sentiasa menghasilkan kandungan positif dan elakkan daripada membuat kandungan yang provokatif kerana ia mudah megundang kecaman.
“Sebenarnya, ia juga bergantung kepada jenis kandungan yang kita buat. Justeru, pastikan kandungan kita hasilkan tidak bersifat provokasi atau boleh memecahbelahkan orang.
“Namun jika masih menerima komen negatif, jangan melayan atau membalasnya. Boleh juga padam komen tersebut bagi mengelakkan sebarang ruang daripada kecaman.
“Sebetulnya kita sendiri yang perlu mengawal jenis kandungan kita hasilkan agar tidak mengundang kecaman,” jelasnya.
SEJAK PANDEMIK
Berkongsi tentang permulaan kerjaya sebagai pencipta kandungan, Eizuwan berkata, dia mula berjinak-jinak menghasilkan kandungan ketika fasa pandemik Covid-19.
Menurutnya, sejak daripada itu, dia mula menemui minatnya dan tanpa sedar perkara itu berjaya mendatangkan hasil pendapatan kepadanya.
“Waktu itu memang saya banyak menghabiskan masa di rumah bersama gajet. Disebabkan tidak boleh keluar rumah, membeli barang pun secara atas talian.
“Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja barang yang sampai. Saya pula banyak beli barang elektronik. Alang-alang duduk rumah tak tahu nak buat apa, saya cuba buat content mengenai barang yang dibeli dan memuat naik ke akaun media sosial.
“Tak sangka pula video-video saya menerima banyak tontonan dan pada ketika itu masih belum ramai yang hasilkan content begitu. Tanpa sedar, apa sahaja yang saya muat naik boleh pengaruh orang untuk membelinya,” jelasnya.
Melihat sambutan menggalakkan, Eizuwan mula menghasilkan content yang lebih pelbagai seperti, blog video (vlog), video perjalanan, ulasan makanan dan ulasan mengenai gajet.
Pada 2023 lalu, beliau memutuskan untuk meninggalkan kerjaya sebagai pereka grafik pemasaran dan meneruskan karier selaku pencipta kandungan secara sepenuh masa.
“Kini saya merupakan pengurus agensi penciptaan kandungan yang diberi nama Fulamak dan antara content yang saya hasilkan sehingga kini adalah ulasan mengenai gajet terkini seperti telefon, tablet, kamera dan earbuds. Saya buat tutorial mengajar tentang cara penggunaan gajet dengan betul.
“Saya turut ikuti berita terkini berkaitan dengan dunia gajet dan elektronik. Jadi, secara keseluruhannya, saya menghasilkan kandungan teknologi yang relevan dengan orang awam,” ujarnya.
KEKAL RELEVAN
Untuk kekal berada dalam industri ini, kandungan dihasilkan mestilah menarik dan berkualiti seiring dengan perkembangan terkini serta kehendak penonton.
Menurut Eizuwan, pencipta kandungan perlu peka dengan situasi semasa dan memahami setiap permintaan penonton agar dapat mengekalkan relevansi dan daya tarikan mereka.
“Kalau nak berjaya, kita perlu ada sebanyak mungkin ilmu. Dengan cara ini, kita akan mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk terus kekal dalam bidang ini.
“Apabila menghasilkan kandungan, pastikan ia memberi manfaat sebab setiap perkara kita sampaikan sama ada melalui video atau penulisan, pasti akan mempengaruhi orang ramai.
“Sekiranya kita menghasilkan sesuatu yang baik, ia bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada diri sendiri tetapi kepada masyarakat juga. Dengan cara ini, kita dapat memberi kembali kepada komuniti,” katanya.











