KUANTAN: Polis daerah ini belum menerima sebarang laporan kejadian kehilangan individu daripada mana-mana pihak susulan penularan mesej dan rakaman suara berkaitan kejadian seorang wanita dikatakan diculik di Perkampungan Sungai Isap di sini hari ini.
Mesej dan rakaman suara daripada seorang wanita yang dikatakan melihat kejadian culik itu mula tular sejak tengah hari tadi di aplikasi WhatsApp dan media sosial Facebook.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu bagaimanapun berkata, seorang lelaki Melayu berusia 34 tahun hadir ke Balai Polis Kuantan di sini pukul 11.30 pagi hari ini mengatakan adiknya terdengar jeritan wanita dari dalam sebuah kereta berwarna hitam yang melalui hadapan rumahnya.
“Wanita tersebut dilihat cuba untuk turun dari kenderaan semasa sedang bergerak,” ujarnya di IPD di sini hari ini.
Bertindak atas maklumat diperolehi, Wan Mohd. Zahari berkata, anggota Balai Polis Kuantan dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, pihak Polis belum menerima sebarang laporan berkaitan kejadian kehilangan individu dari mana-mana pihak,” ujarnya.
Beliau meminta mana-mana individu atau saksi yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil ke mana-mana balai polis berdekatan bagi menyalurkan maklumat.
“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi kejadian itu di media sosial yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial Facebook tangkap layar mesej dan rakaman suara seorang wanita dari aplikasi WhatsApp memaklumkan melihat seorang individu di culik suspek menaiki kereta berwarna hitam.
“Assalamualaikum.. berhati-hatilah.. sekarang ini baru sahaja kejadian dekat depan rumah. Ada seorang perempuan menjerit minta tolong dan dia dibawa lari dengan sebuah kereta berwarna hitam. Dia cuba melarikan diri tapi.. dia buka pintu nak terjun daripada kereta tapi ditarik semula ke dalam kereta. Kami tidak boleh buat apa-apa kami cuma boleh minta tolong orang keliling untuk mengejar tapi kereta itu terlalu laju. Allah.. semoga Allah selamatkanlah perempuan tersebut,” ujar wanita dalam rakaman terbabit. – UTUSAN










