PETALING JAYA: Perlis dan Putrajaya adalah dua negeri yang mencatatkan penduduk wanita lebih ramai berbanding lelaki di negara ini.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, nisbah wanita di Perlis adalah 100 orang bagi setiap 99 lelaki manakala di Putrajaya 98 lelaki.
“Secara keseluruhan, semua negeri di Malaysia mencatatkan bilangan lelaki melebihi wanita kecuali Perlis dan Putrajaya.
NISBAH
“Negeri yang mencatatkan nisbah jantina tertinggi adalah Kuala Lumpur dengan 117 lelaki bagi setiap 100 perempuan diikuti oleh Johor (116), Selangor (115) dan Pahang (114),” katanya ketika membentangkan Trend dan Analisis Kependudukan serta Demografi Malaysia 2024 bersempena Hari Penduduk Sedunia semalam.
Dalam pada itu, beliau berkata, komposisi golongan muda menunjukkan penurunan tahun ini apabila usia penengah dan warga tua mengatasi golongan muda.
Katanya, ia bermakna bilangan kumpulan umur generasi akan datang akan berkurangan secara perlahan sekali gus mengubah landskap piramid penduduk.
Mohd. Uzir berkata, komposisi penduduk umur muda berusia 0-14 tahun pada 2024 telah menurun kepada 22.2 peratus berbanding 22.7 peratus pada 2023.
KOMPOSISI
Sebaliknya, kata beliau, komposisi penduduk berumur 15-64 tahun atau umur bekerja meningkat daripada 69.9 peratus pada 2023 kepada 70.1 peratus pada 2024, dan peratusan penduduk berumur 65 tahun ke atas meningkat daripada 7.4 peratus kepada 7.7 peratus bagi tempoh yang sama.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kelantan merupakan antara sembilan negeri yang mencapai status penuaan iaitu komposisi penduduk umur 65 tahun dan ke atas melebihi tujuh peratus.
Beliau berkata, Perak kekal sebagai negeri paling tua dengan 9.9 peratus pada 2024, manakala Kelantan muncul sebagai negeri menua terbaharu dengan tujuh peratus penduduknya berada dalam kumpulan umur itu.
“Putrajaya mencatatkan komposisi penduduk muda atau 0-14 tahun tertinggi pada 2024 dengan 34.7 peratus manakala Kuala Lumpur mencatatkan komposisi penduduk umur bekerja iaitu 15-64 tahun tertinggi iaitu 75.9 peratus,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Uzir berkata, jumlah penduduk Malaysia pada 2024 dianggarkan 34.1 juta berbanding 33.4 juta pada 2023 iaitu kadar pertumbuhan 1.9 peratus.
Katanya, penduduk warganegara meningkat daripada 30.4 juta pada 2023 kepada 30.7 juta tahun ini dengan kadar pertumbuhan lebih perlahan 0.7 peratus daripada 0.8 peratus tahun sebelumnya.
“Manakala bukan warganegara menunjukkan trend yang sama dengan kadar pertumbuhan lebih perlahan sebanyak 13.6 peratus pada 2024 berbanding 17.1 peratus 2023.
CINA DAN INDIA
“Bumiputera menyumbang 70.4 peratus daripada 30.7 juta warganegara pada 2024. Komposisi penduduk kaum Cina dan India masing-masing menurun kepada 22.4 dan 6.5 peratus berbanding tahun sebelum iaitu 22.6 peratus dan 6.6 peratus,” katanya.
Mohd. Uzir berkata, kepadatan penduduk Malaysia juga meningkat kepada 103 orang pada 2024 berbanding 101 orang bagi setiap kilometer persegi pada tahun sebelumnya seiring dengan pertambahan penduduk.
Katanya, Kuala Lumpur merupakan negeri yang paling padat penduduk dengan 8,518 orang bagi setiap kilometer persegi diikuti Putrajaya (2,440 orang) dan Pulau Pinang (1,746 orang).
“Sarawak mempunyai kepadatan penduduk terendah dengan 20 orang bagi setiap kilometer persegi, diikuti oleh Pahang (46 orang) dan Sabah (51 orang),” katanya. – UTUSAN










