KUANTAN: Pendatang asing khususnya warga Bangladesh dan Myanmar didakwa ‘kebal’ di Cameron Highlands sehingga mampu ‘menawan’ peluang ekonomi penduduk setempat di situ kerana diberikan ruang untuk berbuat demikian.
Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) A. Dilip Martin mendakwa, warga asing terbabit bukan sekadar menjadi ‘tauke’ mengawal bekalan dan harga dalam industri pertanian, malah turut membuka kedai runcit dan menggaji rakyat dari negara sendiri sebagai pekerja.
“Warga asing tidak hanya menceroboh tanah kerajaan malah menyewa tanah penduduk. Membiarkan warga asing mengusahakan sendiri kebun sayur dengan menyewa tanah adalah tidak sihat untuk sekuriti makanan negara dalam jangka masa panjang.
“Selain itu, jika perkara sebegini dibenarkan berleluasa besar kemungkinan mereka tidak akan balik ke negara asal lagi kerana ada pendapatan tetap hasil kebun sayur.
“Penguasaan warga asing terhadap ekosistem bekalan sayur sehingga membentuk kartel juga boleh menyebabkan mereka rasa kebal undang-undang walaupun melanggar peraturan imigresen. Mereka mungkin beranggapan pihak berkuasa serba salah untuk bertindak kerana boleh menjejaskan bekalan sayur,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Kelmarin, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa, demi hawa nafsu dan mementingkan wang ringgit, segelintir individu sanggup menggadaikan integriti dan membiarkan tanah di negeri ini ‘dijajah’ terang-terangan oleh pendatang asing.
Al-Sultan Abdullah dbertitah, tanah-tanah di Cameron Highlands misalnya, yang dipajak dan disewa kepada petani serta pengusaha tetapi kini disewakan kepada warga asing.
“Lebih mendukacitakan lagi, warga asing tersebut telah mengambil alih peranan sebagai ‘tauke’ yang mengawal bekalan dan harga dalam industri pertanian, mengakibatkan wujudnya kartel-kartel yang merosakkan ekonomi negeri dan negara secara keseluruhannya.
Dilip mendakwa, warga asing di kawasan tanah tinggi itu tidak perlu risau atau takut kerana mereka ‘dijaga’ agensi penguat kuasa terbabit.
“Mereka ini kabel kuat, kabel mereka adalah rasuah. Mereka duit banyak dan boleh membeli anggota penguat kuasa.
“Jika datang ke sini, anggota penguatkuasa akan diberikan bekalan seperti rokok dan keperluan harian seperti ikan dan sayur-sayuran secara percuma,” dakwanya.
Beliau juga mendakwa, terdapat warga asing menjadikan perkahwinan mereka dengan penduduk tempatan dan Orang Asli sebagai ‘lesen’ untuk menjalankan perniagaan di kawasan tanah tinggi berkenaan.
Dakwanya, warga asing di Cameron Highlangs juga ‘kebal’ kerana setiap kali penguatkuasaan dilakukan mereka sudah cabut awal dan menyorok kerana dimaklumkan kehadiran penguat kuasa.
“Memang ada orang dalam yang maklum kepada warga asing setiap kali penguatkuasaan hendak diadakan.
“Setelah dimaklumkan, warga asing khususnya tauke-tauke besar hilang sekejap dan selepas seminggu mereka ada balik di Cameron Highlands, kembali bebas melakukan aktiviti perniagaan mereka.
“Aktiviti mereka sebenarnya diketahui oleh pihak berkuasa di Cameron, Majlis Daerah pun tahu tetapi seperti mana titah Sultan Pahang, integriti sanggup digadaikan demi kepentingan diri. Inilah sebenarnya yang berlaku di Cameron,” dakwanya.
Beliau menjunjung titah Al-Sultan Abdullah kerana membangkitkan permasalahan besar yang berlaku di Cameron Highlands.
“Kita harap kerajaan Pusat dan negeri mengambil serius perkara ini. Ia bukan masalah baharu tetapi sudah lama berlarutan tanpa penyelesaian.
“Dianggarkan warga asing yang ada di Cameron Highlands ketika ini, jumlahnya antara 15,000 ke 20,000 orang. Yang jadi tauke ratusan orang,” katanya. – UTUSAN










