Mohd. Izani dilantik Pengarah Urusan Malaysia Airports baharu 

Mohd. Izani dilantik sebagai Pengarah Urusan Malaysia Airports baharu 

MOHD IZANI GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga pengarah Malaysia Airports Holdings Berhad (Malaysia Airports) melantik Datuk Mohd. Izani Ghani sebagai Pengarah Urusan Kumpulan yang baharu, berkuat kuasa esok. 

Malaysia Airports dalam satu kenyataan berkata, Mohd. Izani yang dicalonkan oleh Kementerian Kewangan untuk jawatan ini adalah bekas Ahli Lembaga Malaysia Airports yang berkhidmat selama sembilan tahun dari 2011 hingga 2019. 

“Beliau mempunyai pengalaman luas dalam pelaburan dan pengurusan selama lebih tiga dekad dan menjawat jawatan sebagai Pengarah Urusan UEM Group Berhad (UEM Group) sejak 1 Ogos 2019 selepas menjawat jawatani Pengarah Eksekutif pada 1 Januari 2019,” katanya dalam kenyataan. 

Malaysia Airports berkata, sebelum berkhidmat di UEM Group, Mohd. Izani memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif, Pelaburan di Khazanah Nasional Berhad.

Sementara itu, beliau juga pernah berkhidmat di Putrajaya Holdings Sdn. Bhd dan Renong Group.

“Mohd Izani juga adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pembangunan Pasaran Modal, Ahli Lembaga International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) dan Institut Jantung Negara (IJN) serta ahli majlis penasihat Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad,” katanya. 

Mohd. Izani mempunyai Ijazah Sarjana Muda Sains (Ekonomi) dengan pengkhususan dalam Perakaunan dan Kewangan dari London School of Economics and Political Science, United Kingdom. 

Sementara itu, Pengerusi Malaysia Airports, Dr. Nungsari Ahmad Radhi berkata, pengalaman Mohd Izani dalam sektor penerbangan dan infrastruktur lapangan terbang disertai dengan kepimpinan yang terbukti akan memacu kumpulan ke arah pertumbuhan dan kejayaan yang berterusan.

Selain itu, lembaga pengarah turut mengumumkan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan , Mohamed Rastam Shahrom akan melepaskan jawatannya hari ini untuk meneruskan peluang kerjaya baharu. 

“Mohamed, yang telah berkhidmat sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif sejak Oktober 2023 dan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kesihatan kewangan kumpulan serta melaksanakan inisiatif strategik yang meningkatkan kecekapan operasi dan keuntungan. 

“Kepimpinan dan visi beliau sangat berharga dalam menghadapi cabaran yang dibawa oleh pandemik Covid-19. 

“Mohamed terus memacu pertumbuhan dan pengembangan syarikat, mengukuhkan kedudukannya sebagai pengendali lapangan terbang terkemuka di peringkat global. Lembaga pengarah mengucapkan penghargaan yang mendalam atas kepimpinan dan komitmen Mohamed,” katanya. 

Jelas Nungsari, pihaknya bersyukur atas sumbangan Mohamed dan mendoakan yang terbaik untuk usaha beliau di masa hadapan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×