PETALING JAYA: AwanBiru Technology Bhd. (Awantec) melalui anak syarikatnya, Awantec Systems Sdn. Bhd. (ASSB) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) semasa majlis perasmian Cybersecurity Summit 2024 pada Selasa.
Kerjasama strategik itu bertujuan meningkatkan, menggalakkan dan membangunkan teknologi keselamatan siber serta menekankan pembangunan bakat bagi memperkukuhkan landskap keselamatan siber Malaysia.
Awantec dalam kenyataan berkata, dalam usaha MoU tersebut, kedua-dua pihak akan membangunkan dan melaksanakan teknologi baharu dalam keselamatan siber dengan memberi fokus kepada penyelesaian inovatif dalam menangani ancaman siber.
“Kerjasama itu akan memperluaskan lagi pelancaran inisiatif keselamatan siber baharu yang menjurus kepada latihan, peningkatan kemahiran dan memenuhi permintaan industri dengan menekankan persediaan pembelajaran dalam talian dan platform pekerjaan,” katanya.
Jelasnya, perkongsian itu menekankan komitmen bersama ke arah kecemerlangan dan kemajuan berterusan dalam teknologi keselamatan siber, pembangunan bakat dan pendidikan, memandangkan kedua-dua pihak berhasrat untuk membuka jalan bagi masa depan digital yang lebih selamat.
Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutifnya., Azlan Zainal Abidin berkata, kerjasama antara ASSB dan NACSA adalah penting dalam pembangunan keselamatan siber.
“Dengan menggabungkan kepakaran dan sumber, kami berhasrat untuk mewujudkan ekosistem keselamatan siber teguh yang bukan sahaja menangani cabaran semasa tetapi juga memupuk bakat masa depan.
“Sementara itu, Awantec menekankan kerjasama antara ASSB dan NACSA akan memacu inovasi, memperkasakan profesional dan memperkukuh landskap keselamatan siber Malaysia,” katanya.-UTUSAN










