39 warga Vietnam didenda, tiada permit kerja sah, salah guna pas lawatan sosial - Utusan Malaysia

39 warga Vietnam didenda, tiada permit kerja sah, salah guna pas lawatan sosial

SEBAHAGIAN daripada 43 orang warga Vietnam yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau, Jempol di sini atas tuduhan bekerja di negara ini tanpa permit sah dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seramai 39 orang warganegara Vietnam dijatuhkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM12,000 di Mahkamah Majistret Bahau di sini, hari ini selepas mereka mengaku bersalah bekerja di negara ini tanpa permit sah dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Kesemua tertuduh terdiri daripada 23 orang lelaki dan 16 wanita yang merupakan pekerja sarang burung walit itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret, Norshazwani Ishak.

Bagi kesalahan tinggal lebih masa di negara ini, Majistret turut menetapkan hukuman lima bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.

Bagi kesalahan salah guna pas lawatan sosial pula, kesemuanya didenda sebanyak RM1,000 setiap seorang dan sekiranya gagal menjelaskan bayaran berkenaan boleh dipenjara sebulan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, kesemua mereka didapati menggunakan pasport yang dikeluarkan kepada mereka yang sudah tamat tempoh sah laku.

Kesalahan itu dikesan dilakukan oleh tertuduh antaranya bermula tahun 2019 sehingga awal tahun ini. Kesalahan itu juga dikesan dilakukan kira-kira pukul 5 petang, 8 Jun lalu di Pusat Perniagaan Bahau.

Oleh yang demikian, kesemua tertuduh didapati melanggar peraturan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh dan lokasi yang sama, kesemua mereka tanpa sebarang alasan yang munasabah didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk tujuan bekerja.

Oleh itu kesemua mereka melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sementara itu, dalam kamar yang sama empat wanita warga Vietnam tidak mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Majistret membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia dengan syarat tambahan menyerahkan pasport dan hadir ke balai polis sebulan sekali. Kes disebut semula 28 Ogos ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farahidah Zool Beri manakala, 41 tertuduh diwakili oleh peguam R. Kirthiraj, CK Gan dan Ashler Tan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×