SEREMBAN: Paras air di kesemua tujuh buah empangan di Negeri Sembilan berada di tahap normal walaupun terdapat sedikit penyusutan dilaporkan sebelum ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kesemua empangan di negeri ini tidak berdepan masalah penyusutan air ketara seperti yang dialami di beberapa buah negeri di bahagian utara.
“Alhamdulillah di Negeri Sembilan belum lagi di paras kritikal walaupun tidak dinafikan ada sedikit penurunan.
“Tetapi minggu ini kita lihat hujan mula turun di beberapa kawasan dan saya harap ini akan berikan impak yang baik kepada kita.
“Sehingga kini tiada kawasan yang kritikal lagi, penurunannya sedikit dan tidak ketara serta tidak memberikan kesan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Sementara itu, merujuk kepada data bacaan harian empangan yang dikeluarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyaksikan paras air di kesemua tujuh buah empangan di negeri pada hari ini berada pada tahap normal.
Tiga daripada empangan tersebut iaitu Empangan Talang di Kuala Pilah, Empangan Beringin (Pedas) di Rembau dan Empangan Ulu Sepri juga di Rembau malahan berada pada tahap paras maksimum empangan tersebut.
Sebelum ini media melaporkan takungan air di empangan dan tasik di negeri iaitu Perlis, Kedah dan Perak kini terjejas dan berada pada tahap membimbangkan ekoran paras air semakin menyusut akibat panas dan kemarau yang melanda ketika ini.-UTUSAN.











