KUCHING: Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan membuka permohonan pengambilan khas mulai esok (1 Ogos) bagi menangani kekurangan guru di negeri ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, kementeriannya akan turut bekerjasama dalam menangani kekurangan yang masih ada dengan menggunakan kumpulan tambahan bagi Pengambilan Khas khusus untuk Sarawak.
Beliau memberitahu, Sarawak masih lagi menghadapi kekurangan 2,373 guru berdasarkan rekod Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan kekurangan direkodkan di semua 30 pejabat pendidikan daerah (PPD).
“Pengambilan khas ini terbuka kepada semua lepasan Ijazah Sarjana Muda, dengan atau tanpa diploma, Ijazah Pendidikan.
“Calon-calon yang berjaya akan menerima kontrak selama dua (2) tahun dan mengikuti diploma pendidikan pembiayaan sendiri di IPGM melalui Kursus Dalam Cuti (KDC),” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Menurut beliau, selepas memperoleh diploma pendidikan, mereka akan ditawarkan jawatan tetap, tertakluk kepada saringan akhir oleh pihak SPP.
Bagaimanapun katanya, calon hendaklah mengemukakan permohonan secara dalam talian melalui MySPP.
“Pengiklanan bermula esok (1 Ogos) di portal rasmi SPP. Kemudiannya SPP akan menapis permohonan dan calon yang layak akan meneruskan ke Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG), yang menilai perwatakan, personaliti, minat, kesesuaian, psikologi dan kesihatan mental.
“Seterusnya, temu bual secara bersemuka akan dijalankan pada minggu kedua September. Manakala, keputusan akan diumumkan pada Oktober atau November, dengan penempatan disasarkan pada November dan Disember 2024,” ujarnya lagi.
Bagi mengelakkan isu guru memohon pertukaran keluar dari sekolah yang ditugaskan selepas pelantikan dan penempatan, Pengambilan Khas Sarawak mengutamakan calon dari kawasan yang terdapat kekosongan.
“Ini bermakna jika calon berasal dari Baram, dan calon memenuhi kriteria serta lulus temu duga, mereka akan ditempatkan di sekolah-sekolah di Baram.
“Itu juga bermakna mereka akan ditempatkan di kampung halaman masing-masing, sudah tentu kita semua tahu bahawa ini akan menyelesaikan banyak isu lain yang akan timbul,” tambahnya.
Dalam pada itu, Roland Sagah memberitahu,enam daerah teratas yang mengalami kekurangan guru adalah Serian, Daro, Kapit, Subis, Saratok, dan Betong, masing-masing mempunyai lebih 100 kekosongan.
“Kekosongan jawatan ini juga mengikut mata pelajaran terdiri dalam Bahasa Inggeris, Matematik, Moral, Prasekolah, Bahasa Melayu, dan Kelas Pemulihan. Selain itu, terdapat kekosongan dalam 22 mata pelajaran lain, termasuk di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC),” katanya.
Sehubungan itu ujarnya, MEITD dan JPNS akan mengadakan jerayawara di seluruh Sarawak untuk mempromosikan kekosongan tersebut. – UTUSAN











