KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas tembakau kering seludup seberat 3.98 tan bernilai lebih RM253,400 termasuk cukai selepas menahan dua lelaki di Jalan Machang-Jeli dekat sini pada minggu lalu.
Kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira pukul 11 malam pada 24 Julai lalu semasa sedang dalam perjalanan menuju ke Perak.
Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, anggota penguat kuasa kastam menahan lori jenis Hicom itu sebelum mendapati kenseraan tersebut membawa tembakau kering seludup seberat 3.98 tan.
Menurutnya, ia merupakan rampasan tembakau kering yang terbesar oleh JKDM Kelantan setakat ini.
“Siasatan mendapati, penyeludup akan membawa masuk barangan tersebut dari Thailand melalui Sungai Golok dengan menggunakan sampan atau bot.
“Kesemua tembakau itu kemudian diangkut menggunakan lori sebelum diedarkan untuk pasaran Kelantan dan Perak,” katanya pada sidang akhbar di Cawangan Penguatkuasaan JKDM Kelantan, di sini hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori, nilai tembakau dan jumlah cukai yang terlibat dianggarkan RM363,191.
Katanya, tembakau tertakluk kepada lesen import yang dikeluarkan oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) di bawah Jadual Kedua, Bahagian Dua, Butiran 11, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.-UTUSAN










