PETALING JAYA: Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sangat memerlukan Gerakan sebagai ‘rakan kongsi’ dalam Perikatan Nasional (PN) supaya naratif ‘Malay centric’ atau ketuanan Melayu tidak mendominasi gabungan tersebut.
Penganalisis politik Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, kehadiran Gerakan dalam PN membawa naratif berbeza iaitu gabungan tersebut tidak hanya mewakili orang Melayu Islam semata-mata.
Sebaliknya, katanya, Gerakan yang mempunyai ahli daripada seluruh kaum membawa nilai tambah kepada PN dalam mendepani Pakatan Harapan (PH) yang sememangnya diketahui didokong oleh pelbagai latar belakang perkauman dan agama.
“Pada dasarnya, Pas sendiri memang tidak terjejas jika tidak bersama Gerakan kerana mereka menang dengan undi Melayu dari kawasan pantai timur dan utara, namun dilihat sukar menawan kerusi di kawasan campuran.
“Jika Gerakan keluar meninggalkan PN, orang ramai akan melihat ketuanan Melayu semakin kuat dalam gabungan itu atau parti satu kaum. Ia akan memberikan kelebihan besar pada PH,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang dilaporkan memberi bayangan parti itu mungkin tidak dapat bersama
Gerakan untuk mengharungi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) selepas kecewa dengan pendirian ‘rakan kongsinya’ dalam isu derma syarikat arak kepada sekolah.
“Jika inilah yang selalu ditonjolkan oleh Gerakan, PRU16 nanti tidak mustahil kita tidak boleh bersama dalam satu ikatan politik,” katanya.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, sekiranya Gerakan ‘angkat kaki’ daripada gabungan tersebut, imej PN akan terjejas teruk daripada pandangan rakyat Sabah dan Sarawak yang lebih cenderung kepada kepelbagaian kaum dalam pakatan politik.
Katanya, ia akan menyebabkan Pas dan Bersatu ditolak oleh pengundi di Sabah dan Sarawak jika cuba bertanding di kedua-dua negeri tersebut kelak.
“Tidak dinafikan ia akan memberi kelebihan kepada PH dan sudah pasti sekiranya situasi politik masih sama selepas PRU16, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan gabungan parti di Sabah akan memilih untuk bersama PH untuk membentuk kerajaan,” katanya. – UTUSAN










