MARAN: “Lebih baik tidak turap baharu kerana jalan sebelum ini lebih baik dan selamat digunakan penduduk.”
Demikian luah penduduk Kampung Sungai Jerik, Kuala Sentul di sini kerana kecewa dengan kualiti jalan yang disifatkan mereka sebagai ‘tangkap muat’ dan boleh merisikokan keselamatan pengguna khususnya penunggang motosikal.
Pang Yun Seng, 58, mendakwa tiada isu atau aduan kerosakan jalan sehingga ia diturap baharu pada September tahun lalu.
“Apa yang mengecewakan penduduk, jalan ini tidak dibuat mengikut spesifikasi. Jalan asal sudah pun ada tetapi ia diturap lebih kecil daripada asal.
“Ini sekali gus menyebabkan laluan di tepi sedikit tinggi dan membahayakan penunggang motosikal khususnya pada waktu malam. Apa guna diturap baharu jika tidak dibaik pulih?
“Hampir 500 penduduk menggunakan laluan ini termasuk ibu bapa yang keluar bekerja dan menghantar anak ke sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Yun Seng berkata, penduduk menggesa pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat tentang penurapan jalan di kampung itu,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata, tinjauannya mendapati keadaan jalan di situ memang tidak diturap dengan baik dan lebih kecil daripada asal.
“Saya harap Majlis Daerah Maran lebih proaktif pada masa akan datang demi kebaikan dan kemudahan rakyat,” katanya. – UTUSAN











