KANGAR: Jumlah kes rogol membabitkan remaja bawah umur 18 tahun didapati meningkat di Perlis pada tahun ini bermula dari Januari sehingga Jun.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, berdasarkan statistik, sebanyak 13 kes rogol bawah umur direkodkan di negeri ini berbanding 11 kes tahun lalu bagi tempoh sama.
Beliau berkata, kes-kes berkenaan meliputi kategori ‘suka sama suka’ dan terpedaya dengan pujukan teman lelaki.
“Bagi jenayah rogol ini, kenaikan kes melibatkan anak-anak bawah umur di mana ada dalam kalangan mereka melakukan tindakan itu atas dasar suka sama suka.
“Namun, jika dilihat secara keseluruhan termasuk kes rogol yang turut melibatkan kekerasan, kadarnya itu adalah masih rendah iaitu sekitar 15 kes bagi tempoh enam bulan untuk tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad berkata, kebanyakan kes yang direkodkan itu juga berlaku dalam kawasan Kangar malah beberapa tindakan juga telah diambil berhubung perkara tersebut.
Katanya, majoriti kes rogol yang direkodkan berlaku itu membabitkan pelajar sekolah kebangsaan, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
“Berikutan itu, pelbagai usaha dibuat oleh polis antaranya mengadakan ceramah di sekolah, hebahan melalui rondaan Skuad Aman Wanita (Amanita) dan media sosial bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang jenayah rogol ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kadar jenayah komersial di Perlis turut menunjukkan peningkatan sebanyak lima kes pada tahun ini di mana 219 kertas siasatan dibuka berbanding 214 pada tahun sebelumnya.
“Jumlah kerugian yang dilaporkan dalam tempoh berkenaan sebanyak RM2.4 juta di mana kes tertinggi adalah penipuan dalam talian dengan jumlah kerugian sekitar RM2.1 juta,” katanya. – UTUSAN











