KUBANG PASU: Dua lelaki maut setelah dipercayai terperangkap dalam lubang pembentung di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Kemunting, Jitra di sini, pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Mohd. Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 9.29 pagi dan tiba ke lokasi sembilan minit kemudian.
Katanya, kedua-dua mangsa berusia 27 dan 31 tahun yang terperangkap di dalam lubang pembentung tersebut yang berkedalaman kira-kira 4.5 meter.
“Setibanya di lokasi, disahkan terdapat dua lelaki terperangkap dalam lubang tersebut. Pihak kami kemudiannya menggunakan alat pengesan gas bagi mengesan tahap bahaya gas yang terdapat di lokasi tersebut.
“Seterusnya anggota yang lengkap memakai peralatan perlindungan diri (PPE) serta peralatan menyelamat lain turun ke dalam pembentung itu dan berjaya membawa naik kedua-dua mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambahnya, operasi membawa naik mangsa keluar dari pembentung tersebut tamat pada pukul 12.32 tengah hari.
Setakat ini, belum dapat dipastikan mengenai tujuan kedua-dua mangsa berada dalam lubang pembentung tersebut. -UTUSAN











