Wanita didenda RM1,700 buat laporan palsu diugut, dicederakan - Utusan Malaysia

Wanita didenda RM1,700 buat laporan palsu diugut, dicederakan

NUR Maizatul Khairiah Mohd. Nazri (kanan) hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini bagi didakwa atas kesalahan membuat laporan polis palsu diugut sehingga mengalami kecederaan, minggu lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Gara-gara hanya ingin menarik perhatian rakan, seorang pekerja syarikat pembersihan dijatuhkan hukuman denda RM1,700 di Mahkamah Majistret Kuala Pilah atas kesalahan membuat laporan polis palsu diugut sehingga mengalami kecederaan pada minggu lalu.

Tertuduh, Nur Maizatul Khairiah Mohd. Nazri, 26, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.

Majistret turut menetapkan hukuman dua bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.

“Mahkamah mengambil kira kepentingan awam dan tindakan kamu membuat laporan palsu membuang masa dan tugas polis dalam menjaga keamanan negara,” katanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah membuat laporan polis palsu dengan mendakwa menerima ugutan melalui WhatsApp dan telah dicederakan di bahagian lengan kiri dengan menggunakan senjata pisau semasa menaiki motosikal menuju balik ke Juasseh.

Dalam laporan palsu yang sama, tertuduh juga mendakwa kejadian tersebut menyebabkannya terbabas di bahu jalan berhampiran sebuah kilang di Kuala Pilah.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 20 Julai lalu pukul 12.15 tengah malam bertempat di pejabat pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah. 

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman sehingga enam bulan atau dengan denda hingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan. 

Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zainudin dalam hujahnya memohon hukuman setimpal kerana menyusahkan pihak-pihak terlibat terutamanya polis. 

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohamad Faisal Jaafar yang mewakili tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan jumlah denda paling minimum berikutan kesalahan tersebut merupakan kesalahan kali pertama.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×