TATKALA seluruh dewan gempita dengan laungan nyanyian daripada peminat, mengalir air mata anggota New Boyz mengenangkan kejayaan dan keteguhan kumpulan itu beraksi di hadapan peminat walaupun hampir 25 tahun kumpulan itu ditubuhkan.
Lagu Sejarah Mungkin Berulang menjadi saksi kepada detik kumpulan berkenaan menahan sebak bersanjung di atas pentas hebat, membawa lagu kenangan alur penuh liku sepanjang tertubuhnya kumpulan itu daripada 1997 sehingga 2024 di dalam konsert ulang tahun ke-25 penubuhan New Boyz pada 13 Julai lalu.
Vokalisnya, Tomok atau nama sebenar Shah Indrawan Ismail, 40, mengakui tidak mampu untuk menahan sebak ketika beraksi kerana melihat sokongan peminat yang tidak pernah berbelah bahagi. Ada yang datang bersama keluarga, ada yang sanggup tinggalkan anak-anak demi melihat New Boyz.
Katanya, dirinya juga sebak kerana tidak percaya bahawa New Boyz mampu untuk beraksi di pentas yang sama dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ziana Zain pernah mengadakan konsert.
“Selain itu, sokongan setia peminat, bukan hanya dari Malaysia, ada yang datang dari Singapura, Brunei, Indonesia dan ada juga yang sanggup hadir dari Arab Saudi dan Macau kerana mereka bekerja di sana, semata-mata nak melihat konsert kami.
Sinonim dengan menerima hadiah setiap kali kemunculan di hadapan peminat membuatkan
membuatkan semua anggota New Boyz mengambil keputusan untuk memberikan kejutan kepada peminat dengan mengedarkan hampir 100 patung beruang kepada peminat.
“Daripada dahulu sehingga kini, waktu dekat konsert, kami selalu dapat hadiah daripada peminat. Jadi, untuk mengimbau kenangan, kami ambil keputusan untuk mengembalikan hadiah itu kembali kepada mereka.
“Ada peminat yang menghabiskan duit beli tiket sebanyak RM 500, RM 300. Apalah sangat untuk kami keluarkan duit sedikit kepada peminat,”ujarnya.
Siapa sangka kumpulan yang pernah menjadi fenomena dan kegilaan ramai sekitar awal 2000-an masih mampu mengekalkan penguasaan pentas untuk menghiburkan peminat mereka dalam konsert.
Beraksi di pentas berprestij, Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di hadapan lebih 3,000 peminat, kumpulan yang ditubuhkan pada 1999 itu membawa naskah dan karya yang telah mengamit kenangan sesiapa yang datang pada malam itu.
Walaupun kumpulan itu pernah menemui peminat pada tahun lalu melalui konsertnya Sejarah Mungkin Berulang di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), namun kemunculan mereka sentiasa dinanti peminat.
Kumpulan yang dianggotai Jay (gitar utama), Afiez (gitar utama), Lan (gitar kedua), Zack (bass), Ristoe (dram) dan Along (dram) membuka tirai persembahan bermula sekitar 8.30 malam diiringi sorakan dan tepukan gempita tanda keterujaan peminat menanti persembahan daripada kumpulan pop yang pernah menjadi pujaan ramai.
Beraksi di pentas berprestij di hadapan ribuan peminat membuatkan anggota New Boyz menahan sebak kerana disifatkan sebagai satu penghormatan kepada mereka.
Kejayaan konsert kali ini membawa kepada perancangan New Boyz untuk mengadakan konsert di Singapura, Oktober depan sebelum mengambil keputusan untuk berehat dalam tempoh beberapa tahun.
“Kami telah mencapai kata sepakat untuk berehat sebentar mungkin dalam setahun dua. Konsert back to back pun tak best juga.
“Kami mahu peminat untuk sentiasa tertunggu kemunculan New Boyz dan mereka boleh datang ke konsert dengan perasaan rindu,” ujarnya.
Dalam persembahan selama tiga jam tanpa henti, Tomok memukau penonton dengan rangkaian 28 lagu hits kumpulan itu.
Antara seleksi lagu yang dinyanyikan seperti Lukamu Lukaku Jua, Dia, Khilaf, Marah Bukan Sifatku, Meraung, Hanya Tinggal Sejarah dan banyak lagi.
Pada malam itu, Tomok turut menampilkan persembahan duet dengan penyanyi popular Siti Nordiana menerusi lagu duet terbaru mereka berjudul Memori Mungkin Berulang dan turut mendapat sorakan gemuruh dari penonton.
Antara rakan artis yang hadir memberi sokongan ialah Black Hanifah, De Fam, Edry KRU, Man Bai dan kumpulan Boboy.
Kumpulan New Boyz pernah mencipta fenomena dan menjadi kegilaan peminat remaja sejak ditubuhkan pada 1999 dan bergiat aktif sehingga 2007 sebelum mengambil keputusan untuk berehat.











