PETALING JAYA: Pengambilalihan jual beli gas asli oleh Petroleum Sarawak Bhd (Petros) daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dijangka tidak memberi kesan signifikan kepada pendapatannya, berikutan ia bukan penyumbang utama kepada pendapatan syarikat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, beliau tidak menafikan syarikat cari gali industri minyak dan gas negara itu masih akan mengalami sedikit kesan melalui pengambilalihan itu.
“Jika dilihat Petronas masih mempunyai banyak bekalan gas daripada negara lain dan tempat lain di Malaysia. Jadi (pengambilalihan) ini tidak akan menjejaskan banyak pendapatan Petronas.
“Walaupun bagaimanapun, Petronas akan mendapat kesan kepada prestasi keseluruhan syarikat itu dan mungkin semua perbelanjaan modalnya (capex) akan meningkat untuk mengembangkan sumber gas ini kerana sebahagaian besar bekalan gas masa hadapan sepatutnya datang dari Sarawak,” katanya.
Menurut Barjoyai, pada masa yang sama, sumbangan dividen daripada Petronas juga mengecil setiap tahun dan tidak begitu menjejaskan kepada pendapatan kerajaan.
“Petronas juga sudah bertekad pergi perniagaan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) atau yang lestari yang secara perlahan-lahan akan mengurangkan dan gantikan dengan perniagaan sumber yang lestari,” katanya.
Turut memberi pandangan yang sama, Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berkata, Petronas tidak mendapat impak besar untuk sementara waktu berikutan syarikat itu mempunyai pelaburan di luar negara.
“Pendapatan Petronas akan berkurang mengikut sentimen ekonomi dan mereka perlu ada strategi untuk mendapatkan sumber pendapatan daripada sektor lain seperti Pusat Data dan sebagainya,” katanya.
Selain itu, jelasnya, pengambilalihan Petros cuma ambil alih ini hanya edaran gas sahaja dan tidak melibatkan minyak petrol.
“Selain itu, Petros banyak bergantung kepada Petronas untuk cari gali minyak dan gas kerana kepakaran tersebut ada di Petronas.
“Bagaimanapun, bagi tempoh lima tahun akan datang, pendapatan Petronas akan berkurangan apabila Petros mengambil alih minyak petroleum,” katanya.
Sehubungan itu, Mustafa menyarankan Petronas untuk mencari peluang di negara lain kerana syarikat cari gali itu mempunyai kepakaran.
“Seperti yang diketahui, Petronas diiktiraf sebab syarikat yang baik dalam pengurusan dan diiktiraf ke peringkat global.
“Petronas perlu menceburi bidang lain seperti Pusat Data dan Kecerdasan Buatan (AI),” katanya.
Kelmarin, Kerajaan Sarawak memberi tempoh tiga bulan sehingga Oktober ini dalam segala aktiviti jual beli gas asli di Sarawak.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebelum ini Sarawak memutuskan syarikat petroleum milik kerajaan Sarawak, Petros akan mengambil alih peranan dalam semua aktiviti jual beli gas asli di Sarawak bermula 1 Julai ini.-UTUSAN










