KUALA TERENGGANU: Seorang penenun di Terengganu teruja apabila diberi kepercayaan menghasilkan songket untuk sampin, tengkolok dan bengkung bagi persalinan Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim pada upacara pertabalan, baru-baru ini.
Maznah Mat, 62, berkata, meskipun sudah berpengalaman menghasilkan songket untuk kerabat diraja sebelum ini, tugasan kali ini adalah paling mencabar kerana ia dihasilkan untuk istiadat bersejarah buat rakyat Malaysia.
Mesra dikenali sebagai Kak Nah, beliau berkata, tawaran itu diterima daripada wakil istana yang berkunjung ke rumahnya pada awal Mac lalu.
“Mereka bertanya adakah saya sanggup menghasilkan satu persalinan songket terdiri dari sampin, bengkung serta tengkolok untuk istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada Julai.
“Saya terharu kerana diberi kepercayaan ini dan tanpa berfikir panjang, terus setuju menerimanya.
“Namun, ketika proses menenun baru bermula, timbul keraguan bimbang hasil tenunan tidak sempurna namun perasaan itu perlahan-lahan lenyap kerana saya tahu, pihak istana menawarkan tugasan ini kerana percaya dengan kualiti songket yang pernah dihasilkan sebelum ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Chendering, di sini, semalam.
Maznah memberitahu, proses penghasilan songket itu turut dibantu anaknya, Syarifah Hanisha Tuan Wook, 22, yang berkelulusan Diploma Jurusan Tenunan Institut Kraf Negara, Rawang bagi membuat lakaran graf berdasarkan corak daun gambir dan lada hitam yang diberikan.
Beliau berkata, proses menenun songket itu mengambil masa yang lama kerana ia dihasilkan sepenuhnya dengan tangan.
“Prosesnya bermula dengan menerai benang, menganing benang, menggulung, menyapuk benang, mengarat, menyongket dan menenun.
“Memang rumit dan perlukan kesabaran yang tinggi sepanjang proses menenun kerana ia adalah seni yang dihasilkan dengan ketelitian sempurna.
“Kak Nah bekerja siang dan malam untuk menyiapkan persalinan Yang di-Pertuan Agong itu dalam tempoh tiga bulan dengan pemantauan berkala daripada pihak istana untuk memastikan semuanya berjalan seperti yang dirancang,” katanya. – UTUSAN










