MUAR: Seorang pelajar lelaki tingkatan dua dilaporkan hilang sejak semalam selepas ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin Riayat Shah 1, Pagoh, dekat sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, Muhammad Effzaldanish Mohd. Effendy, 14, kali terakhir dilihat menuju ke sekolahnya pada pukul 7.10 pagi.
“Dia berpakaian sekolah, iaitu kemeja putih dan berseluar hijau lumut.
“Dia berbadan kurus, rambut lurus dan kulit sawo matang dengan ketinggian 160 sentimeter dan berat 50 kilogram.
“Alamat terakhirnya adalah di Jalan Kerayong, Rumah Rakyat 1, Pagoh, Muar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat tentang lokasi pelajar tersebut boleh terus menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor P. S. Seventy menerusi talian 011-1625 1909, Hotline IPD Muar 06-9564800 atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN











