PETALING JAYA: Equinix, Inc., syarikat infrastruktur digital antarabangsa mengumumkan pelaburan sebanyak RM23 juta (AS$5 juta) untuk memperoleh tanah daripada Cyberview Sdn. Bhd. (Cyberview) di Cyberjaya bagi mengembangkan kapasiti pusat datanya di Malaysia.
Pengumuman tersebut susulan pelancaran International Business Exchange TM (IBX) di Kuala Lumpur (KL1) dan Johor (JH1).
Dalam kenyataan bersamanya, tanah tambahan itu akan memainkan peranan penting dalam menangani peningkatan permintaan untuk perkhidmatan pusat data berprestasi tinggi yang boleh dipercayai di Malaysia dan seterusnya Asia Tenggara.
Terletak di Hab Teknologi Global Malaysia di Cyberjaya, Kuala Lumpur, tanah yang diambil alih adalah kurang daripada satu kilometer dari kemudahan KL1 sedia ada.
Dengan keluasan 14,300 meter persegi, tanah yang baharu diambil alih itu akan berfungsi sebagai pelengkap strategik kepada KL1, membolehkan Equinix mempertingkatkan lagi ekosistemnya di Malaysia untuk memenuhi pelbagai rangkaian dan penyedia perkhidmatan awan serta perusahaan yang merangkumi pelbagai industri.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Selangor menyasarkan untuk mempercepatkan langkah pendigitalan ekonomi dan pusat data adalah komponen utama tulang belakang ekonomi digital.
“Pelaburan Equinix, yang terkenal dengan kepakaran globalnya dalam membina infrastruktur digital yang berdaya tahan dan memupuk ekosistem rangkaian yang teguh, bersedia untuk menyumbang dengan ketara kepada penggunaan teknologi awan oleh syarikat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan, Equinix Malaysia, Cheam Tat Inn berkata, Malaysia mempunyai pangkalan pengguna internet yang besar, dengan 96.8 peratus penduduk yang terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti digital.
Katanya, ini seperti penstriman video, membeli-belah dalam talian, perbankan dalam talian dan permainan.
“Akibatnya, perniagaan yang beroperasi di Malaysia semakin mencari perkhidmatan pusat data yang selamat dan berskala serta akses kepada ekosistem digital untuk memenuhi permintaan asas pengguna yang celik teknologi ini.
“Kedudukan unik Equinix dan kelebihan daya saing menjadikannya syarikat pilihan,” ujarnya.
Pasaran pusat data Malaysia berkembang pesat disebabkan lokasinya yang strategik, dasar kerajaan yang menyokong dan peningkatan permintaan untuk infrastruktur digital.
Memandangkan Asia Tenggara menjadi hab penting untuk transformasi digital, Malaysia muncul sebagai pemain utama, bercita-cita untuk berubah menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu secara digital.
Faktor seperti kestabilan geopolitik, tenaga kerja mahir, ketersambungan yang lebih baik dan tumpuan pada sumber tenaga boleh baharu (TBB) mendorong pasaran pusat data, yang dijangka berkembang pada purata kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) hampir 14 peratus dan mencapai anggaran AS$3.97 bilion (RM18.4 bilion) menjelang 2029.
Equinix kini mempunyai dua pusat data di Malaysia, JH1 dan KL1. JH1 menawarkan 500 kabinet dan 1,960 meter persegi ruang kolokasi, manakala KL1 akan menyediakan 900 kabinet dan 2,630 meter persegi ruang kolokasi sebaik sahaja dibina sepenuhnya.
Kemudahan ini telah pun menarik pelbagai rangkaian, kandungan, fintech, permainan dan syarikat kecerdasan buatan (AI) untuk menggunakan infrastruktur teknologi maklumat (IT) mereka.-UTUSAN










