TANAH MERAH: Tiga sukarelawan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Thirdforce Pasir Mas nyaris maut selepas trak pikap yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah pikap lain di Kampung Chawas, dekat sini kelmarin.
Kejadian pukul 3.15 petang itu berlaku semasa ketiga-tiga sukarelawan berkenaan dalam perjalanan pulang ke Pasir Mas sejurus selepas menyelesaikan misi bantuan menghantar anak asnaf menyambung pengajian peringkat diploma di Politeknik Jeli.
Koordinator Thirdforce Pasir Mas, Wan Zalilah Shafie berkata, apabila tiba di lokasi, sebuah pikap dipandu seorang lelaki terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan.
Katanya, ekoran itu pikap yang dinaiki mereka tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kenderaan berkenaan yang dipandu seorang lelaki.
“Lelaki tersebut difahamkan dalam perjalanan ke Tanah Merah. Alhamdulillah, kami semua terselamat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Wan Zalilah berkata, kemalangan itu tidak menyentap semangat mereka membantu seperti ke atas keluarga Tuan Zaiton Tuan Lembut, seperti dilaporkan akbar ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang ibu yang sebelum ini buntu mencari wang sebanyak RM1,250 mengalirkan air mata selepas berjaya merealisasikan impian anaknya melanjutkan pengajian ke Politeknik Jeli.
Tuan Zaiton, 52, berkata, semasa anaknya, Mohamad Alif Haikal Wan Abdul Rahman,18, mendapat tawaran berkenaan, dia dan suami Wan Abdul Rahman Wan Ariffin, 52, tidak mempunyai wang sebanyak itu. – UTUSAN











