PETALING JAYA: Catuan air antara tindakan yang wajar diambil sekiranya situasi cuaca panas melampau semakin kritikal bagi menangani keadaan paras air kolam takungan dan empangan yang menyusut.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran berkata, situasi paras takungan air mentah yang rendah membimbangkan kerana takungan direka membekalkan air mentah ketika musim panas dan waktu kekurangan taburan hujan.
Justeru, katanya, catuan air boleh dilakukan kepada sektor pertanian dahulu dan kemudian melibatkan air terawat jika keadaan itu lebih teruk.
“Jika kita sampai ke tahap ingin melakukan catuan, ia bermaksud reka bentuk bekalan air mentah dan air terawat perlu dikaji semula supaya gelombang masa depan tidak memburukkan lagi keadaan.
“Ini antara sebab kami telah lama menyeru kerajaan-kerajaan persekutuan dan negeri untuk meneliti kembali kapasiti rekabentuk takungan-takungan air ini dan bandingkan dengan operasi semasa supaya jurang ini dapat ditambah baik,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), negara bakal berdepan cuaca lebih panas dan kering hingga pertengahan September ini.
Piarapakaran berkata, syarikat air negeri bagaimanapun perlu mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk melakukan sebarang tindakan catuan.
Katanya, kebiasaannya syarikat-syarikat air negeri akan mengurangkan tekanan air pada waktu malam dan awal pagi untuk mengurangkan penggunaan air berikutan tekanan air yang tinggi pada waktu itu.
“Langkah kedua pula adalah penghentian bekalan air terawat kepada operasi-operasi yang tidak penting bersama-sama larangan penggunaan air untuk tujuan tertentu,” katanya.
Jelasnya, antara masalah utama adalah kehilangan litupan hutan secara mendadak yang mencacatkan fungsi kawasan tadahan air.











