KUALA LUMPUR: Jawatan Ketua Polis Dang Wangi akan dipangku Superintenden Nuzulan Mohd. Din sementara pengganti Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mula bertugas.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, Noor Dellhan memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang hampir tiga tahun berkhidmat di IPD Dang Wangi bermula 6 Ogos 2021.
“Saya berasa bertuah dan amat berbesar hati kerana mempunyai seorang Ketua Polis Daerah yang berintegriti, bertanggungjawab, komited serta sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik.
“Kepada Superintenden Nuzulan yang memangku jawatan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, saya yakin tuan mampu menggalas tanggungjawab ini dengan pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob dan Ketua-ketua jabatan, ketua polis daerah dan pegawai kanan polis Kuala Lumpur.
Untuk rekod, Noor Dellhan menerajui Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi selama dua tahun 11 bulan dinaikkan pangkat Senior Asisten Komisioner bakal menyandang jawatan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Risikan/Operasi/Rekod jenayah (D4) Bukit Aman.
Dalam pada itu, Noor Dellhan dalam ucapannya berkata, IPD Dang Wangi sememangnya memberikan satu cabaran unik buat dirinya berikutan kedudukannya di tengah-tengah ibu negara.
“Jawatan ini merupakan satu jawatan yang mempunyai kompleks kerja tersendiri walaupun keluasan pentadbiran IPD Dang Wangi hanya 16.5 kilometer persegi.
“Dalam pentadbiran IPD Dang Wangi terdapat lima bangunan mercu tanda Malaysia, pusat beli-belah (32), institusi kewangan (75), hotel (41), dan bangunan kerajaan (72) di mana lokasi ini merupakan pusat kegiatan ekonomi,” jelasnya.
Beliau berkata, hasil kerjasama erat antara setiap anggota dan pegawai mampu menjamin keamanan serta keselamatan awam di lokasi berkenaan.
Katanya, semangat kerja berpasukan menjadi kata-kata azimat buat dirinya sepanjang menerajui IPD Dang Wangi.
“No personal glory it’s all about teamwork. Kata-kata ini kerap kali saya sampaikan dalam mesyuarat mahupun perjumpaan saya bersama warga kerja IPD Dang Wangi,” katanya.
Sehubungan itu, kata beliau, keseluruhan sumber manusia akan digembleng melibatkan semua bahagian dan balai, dan di atas semangat berpasukan yang telah dipamerkan oleh semua warga kerja. – UTUSAN











