PETALING JAYA: Apex Securities mengekalkan saranan ‘pegang’ terhadap Axiata Group Bhd. (Axiata) dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu RM2.55 sesaham selepas mengambil kira impak bercampur daripada protes besar-besaran di Bangladesh.
Katanya dalam satu nota penyelidikan, peningkatan protes itu dijangka memberi impak minimum kepada Edotco yang dimiliki sebanyak 63 peratus oleh Axiata.
“Dalam pada masa sama, kami menjangkakan perintah berkurung akan memberi kesan besar kepada Robi Axiata PLC (Robi) disebabkan ketergantungannya kepada sektor mudah alih prabayar.
“Robi menyumbang 18 peratus kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan kumpulan,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, pihaknya menjangkakan operasi menara Edotco kekal stabil disebabkan keselamatan yang disediakan oleh kontrak jangka panjang yang memastikan hasil yang konsisten, walaupun pasaran Bangladesh menyumbang 33 peratus daripada hasil Edotco.
“Perkhidmatan jalur lebar negara itu sebahagiannya sudah dipulihkan selepas penutupan selama lima hari tetapi perkhidmatan mudah alih kekal tidak tersedia.
“Kami menyemak semula ramalan pendapatan kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, menurunkan unjuran sebanyak 3.7 peratus pada masa ini, sementara menunggu penjelasan selanjutnya,” katanya.
Apex Securities berkata, Axiata dijangka terus berdepan risiko geopolitik, makroekonomi dan kawal selia, serta pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dan kadar faedah yang tinggi.
Robi Axiata PLC menjalankan perniagaan sebagai Robi yang merupakan pengendali rangkaian mudah alih kedua terbesar di Bangladesh.-UTUSAN










